Wednesday 5 October 2011

PEMUDA SAPP SELAMATKAN SURAU DARI ROBOH



PEMUDA SAPP berjaya membantu penduduk Kg. Jawa, Ulu Papar, Bongawan membaikpulih surau mereka yang condong dan hampir roboh kerana sudah terlalu uzur disebabkan menagih janji wakil rakyat yang tidak kunjung tiba.

Setiausaha Penganjur Pusat, Jamain Sarudin, yang juga Naib Ketua Pemuda SAPP berkata, Pergerakan Pemuda telah menerima aduan daripada penduduk kampung dua minggu lalu dan meminta kerjasama Pemuda Zon berkenaan untuk memantau dan mengkaji keperluan surau bagi memudahkan khidmat bantuan disalurkan.

Bagaimanapun, setelah mendengar laporan penduduk kampung, beliau amat terkejut setelah dimaklumkan permohonan telah diajukan kepada Wakil Rakyat Bongawan sejak lebih dua tahun lalu, tetapi sehingga ke hari ini tidak ada walau sebatang paku diserahkan kepada jawatankuasa surau berkenaan.

Melalui pendekatan ‘Dengar, Lihat dan Selesai’ (DLS) kata Jamain, pihaknya telah menyelesaikan banyak masalah rakyat tanpa memerlukan kos yang tinggi dan mampu dilaksanakan oleh Pemuda SAPP, namun hairan kenapa gagal diselesaikan oleh Wakil Rakyat BN.

Jamain yang kesal dengan keadaan itu, berkata sepatutnya Wakil Rakyat membuat pemantauan dan membantu segera penduduk kampung tersebut.

Beliau bersama Naib Presiden SAPP, Jaafar Hj Ismail dan Naib Pengerusi CLC Bongawan, Jamil William Corie serta beberapa AJK CLC telah bersama-sama bergotong-royong membaikpulih surau berkenaan.

Jamain turut merakam ucapan terima kasih kerana Jamil telah menderma simen dan batu pasir bagi membolehkan tiang surau itu diperkuatkan; manakala Jaafar turut menderma kayu untuk mengganti tiang yang reput.

Usaha Pemuda SAPP dan pemimpin setempat ini kemudiannya diraikan di dalam majlis jamuan secara kampung.

Dalam pada itu, menurut Mantan Ketua Kampung, Dollah, permohonan yang mereka ajukan kepada Wakil Rakyat sudah basi dan berkulat kerana tiada sebarang tindakan diambil baik oleh Wakil Rakyat atau pegawainya.

Oleh itu, kata Dollah, beliau telah meminta bantuan daripada Pergerakan Pemuda SAPP kerana bimbang surau tersebut akan runtuh menyembah bumi, mujur tidak ada sebarang kejadian berlaku ketika umat Islam mengerjakan solat tarawih pada bulan ramadhan lalu.

“Kami terpaksa menggunakan juga surau tersebut dengan penuh sekalipun seperti telur di hujung tanduk,” kata Dollah lagi.

No comments:

Post a Comment