Wednesday 5 October 2011

PEMUDA SAPP ZIARAH PESAKIT TENAT



UZUR….Singkun (duduk) yang bergelut dengan keuzuran bersalaman dengan Roger.

Oleh: THAMPPAREQ KITOES

SEORANG kakitangan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), Singkun bin Singkiu, 51, yang bergelut dengan keuzuran kerana menghidap penyakit paru-paru kronik sejak tahun lalu (2010) merasa lega apabila dilawati Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) baru-baru ini.

Rombongan tersebut diketuai Naib Ketua Pergerakan Pemuda SAPP Pusat, Rudy Sulaiman Mairi dan Roger Stimin bagi pihak parti itu yang menyerahkan sedikit sumbangan ikhlas kepada Singkun.

Singkun yang dalam keadaan tercungap-cungap hanya mampu berkata, “Saya bersyukur dan berterima kasih di atas lawatan ini. Maaf, saya tidak berdaya lagi, sekadar menyerahkan nasib ini kepada takdir Tuhan yang MahaKuasa,” tegasnya.

Dalam pada itu, Roger menasihati Singkun dan keluarganya agar tidak berputus asa, sebaliknya beliau harus tabah menghadapinya kerana segala-galanya kerana yakin setiap penyakit ada ubatnya.

Apa yang penting jelas Roger, rawatan demi rawatan yang diberikan oleh pihak hospital termasuk nasihat doktor yang merawatnya harus dipatuhi dari masa ke semasa sehingga sembuh sepenuhnya.

Dalam pada itu, Rudy menjelaskan bahawa lawatan amal mereka merupakan suatu aktiviti kemasyarakatan Pemuda SAPP yang prihatin dengan masalah yang dihadapi Singkun, yang terpaksa dibantu untuk bergerak ke mana-mana, sekalipun di ruang tamu rumahnya.

“Sebelum ini pun kita sudah bergerak ke pelusuk kampung mengadakan aktiviti kerja amal dan kebajikan seperti gotong-royong membantu membina empangan, mengecat rumah wargaemas. Cuma aktiviti kami kurang diketahui umum kerana tidak mendapat liputan yang meluas jika dibandingkan dengan aktiviti BN,” tegasnya.

Rudy menjelaskan pihaknya bernasib baik kerana ada portal terkenal seperti Sabahkini.net, Portal SAPP, WikiSabah dan JendelaSabah yang senantiasa membuat liputan aktiviti mereka.

“Kalau dalam akhbar pun, hanya Daily Ekspress dan Utusan Borneo sahaja yang menyiarkan kegiatan kami, tetapi tidaklah begitu kerap,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment