Sunday 30 October 2011

PENEMBUSAN JALUR LEBAR SABAH CAPAI 75 %



KERAJAAN akan berusaha gigih untuk melaksanakan pelbagai projek infrastruktur bagi membolehkan negeri Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak seiring dengan negeri-negeri lain dan mencapai 75 peratus isi rumah kadar penembusan jalur lebar menjelang 2015.

Pada masa ini, kadar penembusan di negeri berkenaan adalah di bawah 50 peratus, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Pelancongan Datuk Joseph Salang.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Jalur Lebar 1Malaysia bagi Sarawak di Dataran Bandar Sibu di Sarawak, beliau berkata keempat-empat negeri itu masih ketinggalan kerana bilangan penduduk yang mempunyai komputer masih rendah berbanding dengan jumlah penduduk negeri berkenaan.

"Liputan Internet masih belum tersebar luas tetapi kami di peringkat kementerian dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sangat serius ingin memperbaiki keadaan ini.

"Kami akan menyediakan beberapa opsyen meskipun faktor geografi dan topografi negeri berkenaan menjadi halangan," katanya.

Bagi Sarawak, Salang berkata sebelum pertengahan tahun depan, sebanyak 114 menara komunikasi baru dengan teknologi 3G akan dibina di kawasan sub-bandar dan luar bandar yang akan membolehkan pemilik telefon pintar selain pengguna komputer melayari Internet. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment