Saturday 22 October 2011

PENGIKTIRAFAN WANITA SUNTIK SEMANGAT BARU



TERIMA KASIH... Azizah menyampaikan buah tangan kepada Musa semasa membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah itu kelmarin.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

PENGIKTIRAFAN berterusan terhadap wanita amat wajar dan ianya mampu meyuntik semangat baru kepada golongan wanita di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Hajah Azizah Haji Mohd Dun mengalu-alukan dan menyambut baik langkah yang diambil oleh kerajaan Negeri Sabah kerana memberi peluang dan ruang kepada wanita menjawat jawatan penting dan pembuat keputusan di peringkat negeri Sabah.

Azizah berkata perlantikan Timbalan Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, Joanna Kitingan sebagai Pengarah Jabatan Muzium Negeri Sabah yang baru adalah satu langkah proaktif kerajaan negeri Sabah mengisi kuota 30 peratus pembuat keputusan.

“Pelantikan wanita menjadi pembuat keputusan adalah relevan kerana wanita hari ini berdaya saing, intelek dan sentiasa bekerja keras untuk memastikan kejayaan sesebuah organisasi,” katanya sambil berharap agar lebih ramai lagi wanita yang berkelayakan diberikan jawatan penting dalam kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman di pejabatnya di sini kelmarin.

Turut hadir, Setiausaha Tetap KPM&HEP, Datuk Asnimar Haji Sukardi, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah, Datuk Hajah Siti Sapoo Haji Ahok, Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah, Datuk Hajah Mariati Robert dan ahlijawatankuasa MPWS.

Antara intipati kunjungan itu, adalah memberikan penerangan berkenaan program-program yang dianjurkan sempena sambutan Hari Wanita peringkat negeri Sabah.

Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah juga akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah pada 28 Oktober bertempat di Magellan Sutera Harbour.

“Pengiktirafan terhadap sumbangan wanita juga akan disampaikan pada majlis tersebut melalui Anugerah Wanita Negeri Sabah termasuklah Anugerah Khas Wanita Luar Bandar,” katanya.

No comments:

Post a Comment