Tuesday 25 October 2011

PERANAN JKDB AMAT PENTING



GOTONG ROYONG...Sebahagian Ahli-Ahli LDP Sandakan yang menyertai gotong royong bersama Charlie Pang (lima dari kanan).

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

TAMAN perumahan yang tidak mempunyai Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) akan menghadapi masalah birokrasi kerana kerajaan sukar berinteraksi dengan penduduk bagi menyalurkan semua program sosial dan ekonomi.

Dalam hal ini, sepatutnya setiap kawasan perumahan di bawah naungan satu-satu kawasan DUN seharusnya membentuk JKDB yang dikendalikan sendiri Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) dan melantik penduduk yang layak untuk memegang jawatan sebagai Pengerusi JKDB bagi mewakili taman perumahan mereka.

Oleh itu tidak hairan apabila Pejabat Parlimen Sandakan mengadakan gotong royong bagi membersihkan taman permainan (Play Ground) di Taman Indah Jaya kelmarin, hanya melibatkan ahli-ahli Parti LDP Bahagian Sandakan dan tiada seorangpun penduduk taman tersebut muncul untuk sama-sama menjayakan program tersebut.

Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen P186 Sandakan, Charlie Pang menjelaskan perkara ini kepada Sabahkini.Net ketika ditemui lokasi program tersebut di Indah Jaya kelmarin.

“Walaupun Taman Indah Jaya adalah di bawah naungan DUN Sekong, tetapi penduduk-penduduknya 70 peratus adalah pengundi Elopura. Keadaan ini menyebabkan timbul masalah birokrasi bagi agensi kerajaan, apatah lagi untuk berhubung dengan penduduk,” ujarnya.

Selain daripada menubuhkan JKDB, Charlie turut menyarankan penduduk agar menubuhkan Rukun Tetangga (RT) yang boleh dipohon terus daripada Jabatan Perpaduan Daerah Sandakan.

“Dengan terbentuknya RT di taman perumahan akan menjadi sebagai satu alternatif untuk penduduk setempat bermesyuarat dan membincangkan segala masalah, terutama sekali isu keselamatan dan kebersihan,” tegas Charlie lagi.

Selain dapat memupuk semangat kejiranan kata Charlie, mereka saling kenal mengenali antara satu sama lain, tetapi yang paling penting ialah jalinan kerjasama ini mencerminkan Konsep 1 Malaysia.

Bagaimanapun, Charlie memberi jaminan akan merujuk perkara ini kepada ADUN Sekong dan Elopura memandangkan pilihanraya umum sudah semakin hampir dan memerlukan pendekatan terbaik untuk memastikan BN mengekalkan kesemua kerusi yang ditandingi.

No comments:

Post a Comment