Tuesday 25 October 2011

PESTA NELAYAN MENUMBOK GAMIT PELANCONG


Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

PELBAGAI acara menarik siap disusun atur bagi memeriahkan lagi Pesta Nelayan Kali ke 11 bagi peringkat daerah Kecil Menumbok yang diadakan selama tiga hari bermula dari 28 hingga 30 Oktober ini bertempat di Pantai Mempakul.

Setiausaha Penganjurnya, Haji Asmat Japar berkata, antara acara yang dijangka menarik perhatian pengunjung ke pesta ini termasuklah pertandingan memancing terbukla, lumba bot laju, lumba mendayung perahu, sukaneka di samping persembahan hiburan dari artis artis tempatan dan jemputan.

Menurut Haji Asmat, upacara perasmian pesta ini akan diadakan pada 29 Otkober 2011 jam 10.00 pagi yang perasmiannya dijangkakan akan dilakukan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Haji Noh Omar; serta diiringi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

“Kita mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke pesta kali ini kerana selain menyediakan acara menarik untuk disertai, pengunjung juga boleh menikmati juadah-juadah hasil laut tempatan yang segar,” katanya ketika dihubungi di sini pagi kelmarin.

Haji Asmat yang juga Naib Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) berkata, antara matlamat pesta tersebut dianjurkan bagi memberikan peluang kepada para nelayan dan penternak menjual produk yang berhubung kait dengan sektor pertanian, di samping dapat membantu mempromosikan daerah kecil Menumbok sebagai antara destinasi pelancongan.

“Golongan nelayan, petani dan penternak juga berpeluang untuk memperolehi maklumat berhubung dengan dasar dan program yang dilakukan oleh kerajaan bagi membantu golongan ini, khususnya dalam industri pertanian melalui pemeran yang diadakan oleh jabatan dan agensi kerajaan berkaitan,” tambah Haji Asmat.

Sambil menganggarkan lebih kurang 4,000 orang akan berkunjung ke pesta ini, Haji Asmat berkata pesta ini juga akan menjadi pemangkin kepada Gagasan 1 Malaysia bagi memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama khususnya di kawasan tersebut.

No comments:

Post a Comment