Wednesday 26 October 2011

PILIHANRAYA OLOK-OLOK PBS BERJAYA


Oleh : MEDIA PBS

SETIAUSAHA Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Henryanus Amin memaklumkan bahawa jentera kempen pilihan raya PBS Kemabong sudah bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"PBS Kemabong melakar sejarah sebagai bahagian pertama mengadakan Pilihan Raya olok-olok. Saya nampak banyak sepanduk dan poster di sana-sini. Saya merasa bahang pilihan raya di sini. Saya berharap ahli PBS jangan menganggap parti sebagai Sang Kecil sebaliknya Sang Gajah. Buktikan bahawa PBS mempunyai kuasa penentu kemenangan BN."

Henryanus turut memaklumkan, kemungkinan pembinaan sebuah pejabat tetap parti di Kemabong.

"Kita telah meneliti keperluan ahli PBS di Kemabong dan sedang berusaha ke arah itu (pembinaan pejabat). Dengan adanya pejabat itu kelak, PBS dapat memberikan perkhidmatan lebih baik."

Seramai 89 peserta menyertai Kursus Pemantapan Parti dan Jentera Pilihan Raya anjuran PBS Kemabong di Kampung Kalamatoi Kemabong bertujuan untuk memantapkan parti selain mempersiapkan PBS membantu kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya.

Dalam pada itu, menurut Ketua Bahagian PBS N.36 Kemabong, Sabini Ansumor, kursus berkenaan mencapai objektif yang ditetapkan dan difahamkan jentera pilihan raya PBS berkonsepkan kerjasama dengan semua komponen BN.

Menyentuh tentang calon pilihan raya, beliau menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan dan bertekad untuk menghormati pilihan Perdana Menteri.

"Apa yang paling penting ialah kesinambungan pembangunan negara. Hanya negara yang aman dan makmur boleh membawa pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat."

Menyedari bahawa penduduk Kemabong dahagakan pembangunan dan pembelaan, Sabini berikrar untuk memastikan agenda pembangunan negara dan kebajikan rakyat adalah seimbang.

"Adalah tanggung-jawab saya menjadi medium keperluan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Selagi diperlukan, saya dan PBS akan memperjuangkan rakyat dan menambah-baik keupayaan kerajaan membawa kesejahteraan kepada rakyat.”

No comments:

Post a Comment