Monday 3 October 2011

POLIS ENGGAN TERIMA LAPORAN BAPA MANGSA



Oleh: MUTALIB M.D

BAPA mangsa bunuh, Borhan, menghubungi Sabahkini.net sebentar tadi memaklumkan bahawa Polis Keningau enggan menerima laporan polis yang bakal dibuatnya untuk mendesak polis menjalankan siasatan dan mendakwa bekas teman lelaki anaknya, Inspektor Ahmad Rizal yang dipercayai suspek utama membunuh anaknya, Kartini Binti Borhan.

“Mereka kata tidak perlu buat laporan kerana Inspektor Ahmad Rizal telah membuat laporan dan polis sedang menjalankan siasatan,” kata Borhan yang kecewa kerana hasratnya untuk mendesak Inkues berhubung kematian anaknya tidak diendahkan polis Keningau.

Bagaimanapun kata Borhan, beliau tidak berputus asa dan akan membuat laporan polis di Kota Kinabalu dalam masa yang terdekat kerana yakin anaknya menjadi mangsa ‘Cover-Up’ polis.

BUNUH.....Di rumah inilah mayat Kartini ditemui.

Tegas Borhan, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib sewajarnya menubuhkan Unit Khas untuk menyiasat punca kematian anaknya dan beliau akan mendesak agar Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi mendapatkan keadilan untuk anaknya yang bukan sahaja dibunuh dengan kejam, malah dilemparkan dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas.

“Semoga kematian Kartini akan mendedahkan rahsia yang disimpan selama ini dan kami akan menampilkan saksi untuk membuktikan bahawa Kartini dibunuh dan saspek utama ialah seorang Pegawai Polis yang meletakkan undang-undang ditangan sendiri dan mencemar imej kepolisan di Malaysia,” kata Borhan yang kesal kerana Balai Polis di Keningau sudah menjadi pejabat mafia.

Dalam pada itu, siasatan wartawan Sabahkini.net di Keningau mendapati bukan sahaja Polis Keningau cuba menutup kes berkenaan, malah ada kumpulan Mafia yang sedang memasang umpan untuk melencongkan bukti dan mencipta tertuduh baru bagi menyelamatkan Inspektor Ahmad Rizal yang disyakki melakukan jenayah berkenaan.

Polis Keningau dipercayai sedang memburu seorang bekas pesalah yang mempunyai rekod jenayah iaitu Samsuddin Abu @ Buyung untuk dijadikan sasaran bagi membebaskan Inspektor Ahmad Rizal yang turut mengalami kecederaan, kononnya ditikam ketika cuba menyelamatkan Kartini.

Tinjauan Sabahkini.net mendapati ada jiran yang terpaksa menginap di hotel atau rumah keluarga yang agak jauh daripada rumah mereka kerana bimbang polis akan menjadikan mereka ‘kambing hitam’ atau menjadikan mereka saksi palsu; terutama beberapa jiran yang menyaksikan kejadian berkenaan yang dipercayai berlaku antara jam 12.30 hingga jam 1 pagi.

Sabahkini.net tidak dapat mendedahkan bukti yang diperolehi kerana bimbang akan mengganggu siasatan polis dan mengambil keputusan tidak mendapatkan ulasan daripada Pesuruhjaya Polis Sabah kerana kes masih dalam peringkat siasatan; sekalipun polis cuba menjinakkan keluarga mangsa dengan mendakwa rompakan sebagai motif pembunuh Kartini.

No comments:

Post a Comment