Tuesday 4 October 2011

‘POTLUCK DAN BBQ’ HIMPUN 60 BLOGGER


GROUP Facebook Pemuda SAPP Sabah menganjurkan ‘Potluck dan BBQ’ di Tg. Lipat, Likas dan dihadiri oleh 60 ahlinya pada ahad lalu sebagai salah satu aktiviti riadah yang sihat dan memberikan ruang kepada blogger untuk berkenalan di antara satu sama lain.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Jamain Sarudin berkata, selain mengeratkan lagi ikatan keakhraban di luar dunia siber, kelibat kumpulan berbaju kuning di Tanjung Lipat, Likas turut menarik perhatian pengunjung yang beriadah di sana.

Jamain yang juga Naib Ketua Pemuda SAPP menegaskan bahawa peranan blogger amat penting dalam mempromosikan kegiatan dan memberi cadangan bernas berhubung isu-isu semasa.

Sebilangan besar blogger, kata Jamain bukan ahli parti, tetapi menjadi penyokong perjuangan SAPP ke arah penubuhan sebuah pentadbiran kerajaan ber’autonomi’ yang lebih telus dan berjiwa rakyat.

Bloger muda, kata Jamain lebih cenderung menyokong parti tempatan SAPP dan sering mengutarakan isu yang berkualiti dan tidak hanya berpandukan pada isu di akhbar dan laman web, sebaliknya membongkar isu baru yang releven dengan kehidupan setempat mereka.

Reformasi tanah, PTI, kabotaj, kenaikan harga barangan keperluan harian, ketidak seimbangan ekonomi dan perjuangan mempertahankan 20 perkara masih menjadi topik yang sangat popular di mana-mana group facebook.

Kepedulian yang tinggi di kalangan mereka, kata Jamain, tidak seharusnya dinilai sebagai penentang kerajaan, sebaliknya harus difahami dan dihormati kerana blogger mewakili 20% - 30% suara rakyat.

Beliau juga meminta agar bloger lebih berhemah dan menggunakan ayat yang tidak menyentuh sensitiviti kaum dan agama kerana ianya sindrom yang sangat merbahaya kepada keharmonian masyarakat majmuk.

Bagaimanapun, kata Jamain, sifat semula jadi anak Sabah yang mempunyai naluri ‘kenegerian’ itu menjadi petanda bahawa mereka sedar peluang-peluang bagi mereka semakin mengecil di negeri sendiri dan bangkit mempertahankannya.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Edward Dagul, Ketua Pemuda SAPP dan Exco Pemuda.

No comments:

Post a Comment