Friday 7 October 2011

RAKYAT BOLEH SALUR CADANGAN PENAMBAHBAIKAN



PANDANGAN dan cadangan orang ramai berhubung dengan penambahbaikan proses pilihan raya boleh disalurkan dalam sesi pendengaran awam pertama yang akan diadakan akhir November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata melalui sesi pendengaran awam itu orang ramai boleh menyerahkan memorandum dan membentangkannya serta memberikan sebarang maklum balas berhubung pilihan raya.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya enam sesi pendengaran awam akan diadakan dan berharap ia dapat diselesaikan Disember ini.

"Satu di Kuala Lumpur, satu di Sabah, satu di Sarawak, satu di utara Semenanjung mungkin di Kedah, satu di pantai timur mungkin di Terengganu dan satu di selatan sama ada Melaka atau Johor," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen Rabu.

Ongkili yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata sesi pendengaran awam itu akan diadakan selepas tiga sesi mesyuarat di peringkat jawatankuasa diadakan.

Beliau berkata, sesiapa sahaja dialu-alukan untuk hadir pada sesi itu termasuklah institusi berdaftar.

"Bersih bukan pertubuhan berdaftar, jika mereka mahu datang, mereka perlu datang secara individu," katanya.

Beliau berkata, sebarang pendapat dan pandangan juga boleh disalurkan melalui beberapa cara seperti khidmat pesanan ringkas (SMS) dan melayari laman web.

"Kita juga akan membuka laman web di Parlimen agar orang ramai boleh mengemukakan cadangan. Termasuk di laman portal kementerian saya di myideas.my," katanya.

Mengenai mesyuarat kali pertama jawatankuasa itu yang akan diadakan Rabu depan, Ongkili berkata ia akan memberi penekanan kepada empat fokus utama iaitu peraturan pilihan raya, proses pilihan raya, daftar pemilih dan memperkasakan institusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM).

Semalam Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat mengesahkan pelantikan sembilan anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

Sembilan anggota yang dilantik itu terdiri daripada lima Anggota Parlimen Barisan Nasional yang mewakili semua kaum terbesar termasuk Ongkili sendiri (wakil bagi Sabah dan Kadazan), Datuk Alexander Nanta Linggi (Sarawak dan Iban), Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (Umno dan Melayu), Tan Sri Dr Fong Chan Onn (MCA dan Cina) serta Anggota Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan (MIC dan India).

Tiga wakil rakyat pembangkang ialah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali, Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya DAP, Anthony Loke manakala Konsensus Bebas diwakili Anggota Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment