Tuesday 25 October 2011

RAMPASAN TANAH ADAT, SINDROM MEMALUKAN



BANTAHAN….Kalakau menyertai penduduk Kampung Toburon membuat bantahan secara aman.

Oleh : ROZIE JUMAT

RAKYAT tempatan kini semakin tersepit dan tertekan disebabkan sikap sambil lewa kerajaan terhadap pencerobohan dan pemilikan tanah adat melalui pintu belakang sehingga menyebabkan Anak Negeri kehilangan maruah di bumi sendiri dan merupakan Sindrom yang memalukan Kerajaan Barisan Nasional.

Malah Ordinan Tanah yang sepatutnya digunapakai dalam soal permohonan dan pemilikan tanah telah dibakulsampahkan oleh mereka yang berhati durjana dan zalim.

Di mana-mana sahaja berlaku kes pencerobohan tanah kerana mereka yang mengusahakan tanah secara warisan, tiba-tiba dihalau keluar secara paksa dari tanah yang mereka diami sejak turun temurun; kerana tanah itu sudah dipindahmilik oleh ‘Syaitan’ di Jabatan Tanah kepada lanun tanah. Seluruh pelusuk negeri ini berhadapan dengan masalah tanah, ibarat timun diulit durian.

Kes pencerobohan terbaru melibatkan penduduk Kg.Toburon di Kota Belud di DUN Tempasuk apabila mereka dinafikan sepenuhnya untuk mempertahankan Hak sebagai Anak Negeri melalui Ordinan Tanah cap 68 (Tanah Adat) Seksyen 13 (a) ke (g) NCR (Hak Asasi Anak Negeri) Seksyen 64.

Presiden Persatuan Dusun Sabah Bersatu (USDA), Datuk Kalakau Untol berkata, tanah-tanah adat milik penduduk kampung kini semakin terhakis dan diambil oleh syarikat-syarikat besar secara leluasa.

“Yang pastinya tindakan ini memberi kesan yang sangat buruk kepada rakyat di negeri ini, terutama penduduk tempatan yang bergantung kepada tanah untuk meneruskan kelangsungan hidup,” ujar Kalakau yang kesal kerana nasib malang ini menimpa Anak Negeri Sabah tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Kalakau berkata, masalah tanah adat yang diceroboh oleh pihak lain sekaligus mendakwa tanah itu adalah milik mereka, berlaku di setiap pelusuk negeri, dan ianya harus ditangani dengan segera.

“Penduduk tempatan yang mengusahakan tanah adat secara turun temurun dinafikan hak untuk meneruskan tradisi mereka. Kini mula lihat kemarahan dan kekecewaan mereka melalui demonstrasi dan memorandum kerana tidak ada dapat yang melindungi kepentingan mereka,” kata Kalakau yang turun padang ke Kampung Toburon bagi mendengar masalah yang dikemukakan kepada USDA oleh penduduk yang tertindas.

Kalakau berkata, seramai 512 orang penduduk di kampung Toburan telah kehilangan tanah adat seluas 809.1 hektar kepada sebuah syarikat yang kini telah memulakan kerja-kerja pembangunan tanah yang dikaitkan dengan penanaman getah.

“Tanah yang terlibat itu termasuklah rumah, perkampungan dan tanaman ladang yang diusahakan oleh penduduk asal negeri ini,” kata Kalakau kesal dengan masalah yang dihadapi oleh penduduk tempatan.

Menurut Kalakau, mereka telah mengabdikan diri kepada tanah yang dianggap sebagai warisan nenek moyang tetapi dengan kerapuhan sistem yang ada, rakyat ini ditindas dan dizalimi serta dinafikan hak mereka sebagai rakyat tempatan yang dilindungi oleh undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Kejadian seumpama itu, kata Kalakau, tidak berlaku jika penduduk kampung diberitahu awal mengenai usaha syarikat itu memohon tanah atau notis diberikan kepada mereka mengikut Seksyen 13 Ordinan Tanah.

“Penduduk kampung dikejutkan dengan berita bahawa tanah-tanah tersebut telah pun dimiliki oleh syarikat, tanpa mereka dapat mempertahankan hak mereka,” kata Kalakau dengan nada yang teramat kesal.

Sehubungan dengan itu USDA meminta kerajaan untuk memandang serius masalah yang dihadapi oleh rakyat tempatan di negeri ini yang kebanyakannya telah kehilangan tanah secara tidak adil.

“Kita minta supaya tanah-tanah adat di negeri ini tidak diganggu, USDA akan terus memperjuangkan tanah dan hak rakyat,” ujar Kalakau.

Sempena perjumpaan itu, sekumpulan penduduk membuat demontrasi secara aman sebagai bantahan terhadap pencerobohan sebuah syarikat di kawasan tanah adat penduduk kampung Toburon.

No comments:

Post a Comment