Saturday 29 October 2011

RASHID KAMSIRAN DALAM KENANGAN ABADI



KENANGAN.....Kelihatan Arwah Rashid sedang bermain Gitar ketika beraksi di pentas.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

WARGA Sabah khususnya Warga Sandakan merasa sedih dan terharu kerana kehilangan seorang Tokoh Muzik yang pernah mengharumkan nama Sandakan ke peringkat Negeri dan Sabah ke peringkat kebangsaan dalam bidang muzik sekitar tahun 1978 dan 1979; Rashid bin Kamsiran, 59, yang meninggal dunia malam kelmarin di Seremban.

Menurut anak lelakinya, Rudy Rashid yang ditemui Sabahkini.Net di kediamannya di Taman Merpati, Batu 7, Jalan Airport, Sandakan; Allahyarham Rashid yang menziarahi anak perempuannya di Seremban, kira-kira tiga minggu lalu bersama isterinya, dikatakan kurang sihat lantas dihantar ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan, namun tidak semena-mena terjatuh dan disahkan telah meninggal dunia.

Jenazahnya yang sudah dikafankan, terus diterbangkan dari Seremban ke Sandakan menggunakan pesawat dan tiba lebih kurang jam 1.45 petang. Rashid meninggalkan seorang isteri dan enam orang anak. Jenazahnya selamat dikebumikan di tanah Perkuburan Islam Nunuyan Darat, Jalan Aman, Sandakan.

Rashid, berketurunan Jawa dilahirkan pada 03 September 1952 mula bermain muzik ketika berusia lima tahun lagi dan sering mengikuti kumpulan muzik pimpinan arwah ayahnya iaitu Kakek (Atuk) Kasiran.

Walaupun tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang muzik, tetapi beliau boleh memainkan beberapa peralatan muzik seperti drum, keyboard, accordian, trombone dan peralatan muzik tradisional; malah mahir bermain gitar.

Selain bermain alat muzik, Rashid amat berbakat dalam seni penciptaan dan penggubahan lagu, antaranya, Bertunang, Sinar Matamu dan Ibu adalah yang pernah menjadi hit di persada muzik hiburan tanah air.

D' Atomic Power, merupakan sebuah kumpulan yang gah terutamanya di Sabah dan Malaysia yang juga sinonim dengan nama Rashid Kamsiran kerana beliau adalah pengasas dan mengetuai kumpulan ini.

Sepanjang kerjayanya bersama D' Atomic Power, Rashid pernah memenangi tempat ketiga Bakat TV ' 78' anjuran RTM Angkasapuri; Johan Pertandingan 'Bakat TV' di Seremban; menghasilkan empat buah album iaitu Cinta Benar Cinta, Bertunang (Lagu Soundtrack filem ‘Bertunang’ arahan M. Borhan terbitan Sabah Filem Production), Manusia dan Atomic Power Re-Union.

Rashid yang aktif bersama Kumpulan Muzik Kebudayaan/Tradisional pernah mewakili Sabah ke Pertandingan Peringkat Kebangsaan bersama Kumpulan Sri Tari Sandakan pernah menjadi Johan Peringkat Kebangsaan dan mendapat anugerah bagi Kategori Gubahan Muzik Terbaik.

Rashid pernah mewakili Malaysia ke Tarantino, Italy dan berjaya meraih tempat kedua bagi Kategori Persembahan Tarian/Muzik dan turut mewakili Malaysia ke Istanbul, Turki membuat Persembahan Kebudayaan.

No comments:

Post a Comment