Thursday 13 October 2011

SABAH PERLUKAN SUNTIKAN DANA NKEA


MUDAH....Raimi menunjukkan teknologi mudah dan canggih ini mampu merangsang ekonomi luar bandar.

Oleh : MUTALIB M.D

PEKEBUN kecil getah di luar bandar Sabah memerlukan suntikan dana daripada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk menaiktaraf kehidupan mereka melalui penggunaan teknologi ‘Reactorrim’ yang dikenalpasti mampu meningkat hasil kebun getah mereka.

Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) Datuk Raimi Unggi ketika ditemui Sabahkini.net di Bangunan Parlimen berkata, penduduk luar bandar, terutama di pedalaman Tenom, yang dibelenggu pelbagai masalah prasarana; memerlukan suntikan dana permulaan bagi membolehkan mereka meningkatkan hasil, terutama ketika harga getah dalam keadaan stabil di pasaran dunia.

“Pengenalan Teknologi Reactorrim oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah memberikan nafas baru kepada pekebun kecil getah; terutama kebun tua yang kurang produktif, tetapi mampu dipulihkan segera melalui penggunaan Reactorrim yang terbukti berjaya di Semenanjung Malaysia dan Indonesia,” kata Raimi setelah mengadakan lawatan ke beberapa ladang yang menggunakan teknologi berkenaan.

Menurut Raimi, beliau yakin Perdana Menteri, merangkap Menteri Kewangan Malaysia akan memperuntukkan sebahagian besar RM2.8 billion daripada peruntukan NKEA untuk Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bagi membantu para pekebun kecil getah mengoptimakan produksi kebun getah tua dan menjana lebih banyak susu getah muda; selaras dengan Dasar Kerajaan dalam NKEA.

Penggunaan teknologi REACTORRIM yang berupa tabung berisi gas Ethylene, kata Raimi bukan sahaja mampu meningkatkan hasil susu getah di antara 100 % hingga 300 % malah memudahkan tugas seharian penoreh yang menghadapi keruncingan tenaga buruh.

Kata Raimi lagi, penggunaan kimia atau manipulasi bioteknologi dalam bidang pertanian akan berjaya mengubah pola pasaran buruh dan membantu pekebun kecil getah terhadap masa hadapan pasaran getah dunia, serta stigma mereka terhadap Dasar Kerajaan.

“Teknologi Reactorrim ini begitu mudah digunakan. Gas Ethylene (dalam bentuk gas) dan etefon (cecair) yang terkandung dalan kanister dilepaskan secara perlahan melalui injap ‘Micro-Porous Membrane’ untuk merangsangkan kulit pokok getah. Bahan kimia cecair yang disapu pada kulit pokok getah (pada bahagian torehan) menyebabkan tindak balas dengan tisu kulit kayu (foloem). Reaksi yang sama juga berlaku jika tabung gas Ethylene dilekap kepada kulit pokok getah,” kata Raimi yang telah berjaya melakukan beberapa percubaan di Tenom.

Tindak balas antara tisu kulit kayu dengan bahan kimia, kata Raimi menyebabkan saluran susu getah dalam kulit kayu getah lambat membeku sehingga mengakibatkan aliran susu getah untuk tempoh yang lebih lama selepas ditoreh, berbanding pokok yang tidak dirangsangkan dengan bahan kimia ini.

“Saluran susu getah akan membeku dalam tempoh beberapa jam sahaja tanpa bahan kimia rangsangan itu, sebaliknya aliran keluar susu getah yang lebih lama selepas dirangsang dengan bahan kimia, yang akan menghasilkan susu getah yang lebih banyak,” kata Raimi yang memaklumkan kerja torehan dapat dikurangkan, secara purata, dua kali seminggu.

Teknologi ini, kata Raimi, mampu dimiliki semua pekebun kecil getah kerana harga yang murah dan penyelenggaraan yang senang, tetapi sebagai langkah permulaan mereka memerlukan suntikan dana berupa bantuan peralatan Reactorrim yang akan memastikan teknologi ini dapat merangsang ekonomi dan menaiktaraf hidup pekebun kecil getah di pedalaman Sabah.

No comments:

Post a Comment