Wednesday 26 October 2011

SEMINAR CUKAI LAHIRKAN 'GOOD CITIZENSHIP'


Oleh : SHAIMON S JUMADI

KETUA Pegawai Eksekutif LHDN, Dato' Dr.Mohd Shukor Haji Mahfar, berkata seminar-seminar percukaian merupakan salah satu daripada usaha pemantapan yang dilaksanakan berterusan bagi melahirkan sebuah masyarakat celik cukai.

Katanya, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia akan berusaha untuk memantapkan lagi sistem pentadbiran dan Pengurusan percukaian supaya menjadi lebih cekap serta berkesan demi memperluaskan asas cukai dan sekali gus meningkatkan pematuhan cukai secara sukarela

Ini kerana kesedaran masyarakat yang tinggi terhadap tanggungjawab membayar cukai sudah pasti akan membantu meningkatkan kadar pematuhan cukai secara sukarela seterusnya meningkatkan jumlah kutipan cukai.

"Matlamatnya adalah untuk membentuk masyarakat yang menjadikan sistem percukaian sebagai aset kepada komuniti yang harus dipelihara bersama di mana pematuhan mereka adalah dianggap sebagai 'Good Citizenship'," jelasnya semasa berucap merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2011 di sebuah hotel terkemuka di sini, kelmarin.

Teks ucapannya disampaikan Pengarah LHDN Sabah, Haji Kamaruzzaman Ab Salleh.

Mohd Shukor berkata, seminar tersebut merupakan salah satu daripada pelbagai program pendidikan percukaian yang dianjurkan pihaknya pada setiap tahun.

Bagaimanapun, katanya, kali ini istimewa berbanding dengan program-program lain memandangkan ia akan diadakan sebaik sahaja Bajet 2012 dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Secara keseluruhannya, seminar ini adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan dan maklumat terkini kepada pengamal-pengamal percukaian, kumpulan-kumpulan profesional, para majikan dan orang ramai mengenai isu-isu berkaitan percukaian yang telah diumumkan Menteri Kewangan dalam bajet tersebut.

"Inilah yang menjadikan seminar percukaian seumpamanya merupakan program yang wajar dihadiri kerana ia bertindak sebagai medium untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini dengan jelas serta tepat," tambahnya.

Beliau berkata, selain daripada seminar itu pihak LHDN turut menyediakan Talian Khas Bajet yang dibuka kepada orang ramai sebaik sahaja selesainya bajet tersebut.

Katanya, ia satu saluran khusus untuk membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat secara langsung berhubung isu-isu percukaian yang disentuh dan dibentangkan dalam bajet.

Melalui talian itu, katanya lagi, orang ramai bukan saja boleh mengemukakan pertanyaan malahan dapat berkomunikasi serta-merta dengan pegawai-pegawai teknikal yang terlibat dalam penggubalan akta berkenaan.

Sehubungan dengan itu, jelasnya, talian khas ini merupakan inisiatif LHDN untuk bertindak sebagai perkhidmatan sokongan dalam usaha menyampaikan informasi terkini secara langsung kepada orang ramai.

Seminar Percukaian Kebangsaan pada tahun ini merupakan seminar yang ke-29 diadakan sejak pertama kali diperkenalkan pada 1984.

Untuk tahun ini, seminar berkenaan turut diadakan di 21 lokasi lain termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

No comments:

Post a Comment