Tuesday 4 October 2011

SESB KESAN SAMBUNGAN HARAM DI 400 RUMAH



KIRA-KIRA 400 rumah di sembilan kawasan setinggan di sekitar daerah ini dikesan melakukan penyambungan elektrik secara haram, kata Pengurus Zon Timur Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Charles K. Dalansing.

Beliau berkata tindakan rumah setinggan itu dikesan menerusi operasi membanteras aktiviti itu yang dijalankan sehingga September lepas.

Beliau berkata antara kawasan setinggan itu ialah Kampung Lupak Meluas, kawasan berhampiran pencawang dan perindustrian Sedco, Sentosa Jaya, Cahaya Baru, Astana Height dan Taman Mesra.

"Secara purata dianggarkan 50 kilogram wayar pelbagai jenis dirampas di lokasi pada setiap operasi pemotongan sambungan haram dilakukan," katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Charles berkata melalui tinjauan pada setiap operasi, pihaknya mendapati mereka yang terlibat mempunyai kemahiran dan menggunakan pelbagai taktik untuk membuat penyambungan haram.

Mereka tahu talian SESB ada bekalan dan boleh mematikan aliran elektrik serta berupaya melakukan penyambungan haram melalui kabel bawah tanah, katanya.

Beliau berkata operasi itu yang dilaksanakan menggunakan jadual khas dan maklumat yang disalurkan orang awam, berjaya mengurangkan kegiatan penyambungan elektrik secara haram di daerah ini. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment