Thursday 13 October 2011

SESI PENDENGARAN AWAM JPKP PADA 11 & 12 NOV



JAWATANKUASA Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya akan mengadakan sesi pendengaran awam pertama di Parlimen pada 11 dan 12 Nov.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata jawatankuasa itu juga memutuskan lima lokasi lain bagi mengadakan sesi itu iaitu di Kompleks Persekutuan Sabah, di Kota Kinabalu, Sabah (25 dan 26 Nov) dan di Wisma Bapa Malaysia, Petrajaya, di Kuching, Sarawak (8 dan 9 Dis).

Tiga lagi lokasi ialah Dewan Sri Pinang, Lebuh Light di Pulau Pinang (15 dan 16 Dis), Bilik Gerakan Negeri, Kota Darul Naim, di Kota Baharu, Kelantan (7 dan 8 Jan 2012) dan Bilik Gerakan Tun Abdul Razak, Bangunan Sultan Ismail, di Johor Bharu, Johor (12 dan 13 Jan 2012).

"Setiap rakyat Malaysia dan persatuan berdaftar boleh menghantar cadangan masing-masing kepada jawatankuasa ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di bangunan Parlimen.

Ongkili yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata sesi pendengaran awam bertujuan mendapatkan cadangan dan maklum balas daripada orang ramai berhubung penambahbaikan sistem pilihan raya di negara ini.

Mesyuarat jawatankuasa memutuskan pendengaran awam itu dijalankan selama tiga bulan dengan memberi tumpuan kepada lima perkara utama iaitu mengkaji peraturan dan undang-undang pilihan raya, mengkaji proses pilihan raya, menambah baik sistem daftar pemilih, memperkukuhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sistem alternatif lain bagi mengadakan pilihan raya.

Beliau berkata cadangan bagi menambah baik sistem pilihan raya di negara ini juga boleh dikemukakan oleh orang ramai melalui emel ke jkpilihanraya@parlimen.gov.my bermula Khamis.

Ongkili berkata mesyuarat jawatankuasa itu akan diadakan bulan depan bagi membincangkan perkara-perkara utama yang sudah diputuskan bagi menambah baik pilihan raya berdasarkan skop tugas masing-masing.

Jawatankuasa berkenaan ditubuhkan pada 3 Okt selepas mendapat persetujuan Dewan Rakyat, dengan tujuan mengkaji perkara-perkara berkaitan proses pilihan raya Malaysia. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment