Thursday 27 October 2011

SRS DAPAT KURANGKAN KADAR JENAYAH



TERIMA KASIH....Samsudin menerima buah tangan daripada pihak RT Kampung Bokara.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekong, Datuk Haji Samsudin Yahya, berkata sejak Skim Rondaan Sukarela (SRS) ditubuhkan banyak masalah telah dapat dikurangkan kerana operasi secara bersepadu itu turut melibatkan pasukan Polis, Rela dan beberapa agensi keselamatan lain.

Namun kata Samsudin, masyarakat harus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SRS bagi membolehkan badan yang ditubuhkan di bawah organisasi Rukun Tetangga (RT) dapat menjalakan operasi rondaannya setiap malam bagi membanteras jenayah di kawasan taman-taman perumahan dan juga perkampungan yang telah dikenal pasti sering berlakunya jenayah.

Katanya, usaha membanteras jenayah tidak wajar diserahkan bulat-bulat kepada agensi keselamatan kerana penduduk setempat perlu juga memainkan peranan dengan memberi kerjasama seperti tampil membuat laporan atau menyalurkan maklumat.

"SRS ditubuhkan sebagai salah satu langkah untuk menjaga keselamatan dalam kawasan RT dan kerjasama daripada penduduk setempat penting bagi membolehkan badan berkenaan bertindak dalam usaha untuk membanteras jenayah yang semakin membimbangkan," katanya.

Samsudin menyatakan demikian ketika berucap menyempurnakan perasmian Majlis Ronda Bersepadu bersama Polis, Rela, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan SRS peringkat Daerah Sandakan Tahun 2011 pada malam Selasa.

Majlis Ronda Bersepadu telah berlangsung di Kampung Bokara di sini seawal jam 9 malam dan penduduk setempat terutama ahli-ahli RT di perkampungan tertua itu turut keluar beramai-ramai untuk meronda.

Hadir sama ialah Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rowell Marung; Pengerusi RT Kampung Bokara, Hajah Rukiah @ Annang Hj Damsal; pegawai-pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan pengerusi-pengerusi RT dari sekitar daerah ini.

SRS adalah satu cabang dalam organisasi RT dan ia adalah skim yang dipohon oleh pemastautin sukarelawan di bawah Peraturan 27A, Peraturan-Peraturan Perlu Rukun Tetangga 1975, Pindaan 1988.

Skim ini dikendalikan oleh Biro Keselamatan yang merupakan salah satu jawatankuasa di dalam organisasi sesebuah RT, manakala rondaan pula dilaksanakan oleh peronda-peronda yang berdaftar di sebahagian atau keseluruhan kawasan rondaan yang telah pun diwartakan.

SRS dilihat semakin penting kerana ia menjamin keselamatan kawasan perumahan dan perkampungan. Disamping itu, ianya juga dapat memupuk semangat muhibah di kalangan ahli-ahli rukun tetangga.

No comments:

Post a Comment