Sunday 2 October 2011

TERUS BERJUANG ATAU GANTUNG PENA?



Oleh : MUTALIB M.D

HARI ini, 2 Oktober, genap 49 tahun umur saya; setahun lebih tua daripada tarikh Sabah yang dalam keadaan ‘Pra-Matang’ diheret menyertai sebuah Gagasan Malaysia ketika majoriti rakyat Sabah pada itu ‘tidak faham’ dan pemimpinnya diperdaya untuk menerima Malaya, Sarawak, Singapura, Brunei sebagai rakan kongsi perniagaan ‘Buluh Kasap’; hujung dapat, pangkal lesap!

Terima kasih tidak terhingga kepada pembaca Sabahkini.net, rakan Twitter, Facebook dan sahabat handai yang mengirimkan kawat ucap selamat Hari Jadi.

Semalam saya bercadang untuk menggantung pena (berhenti menulis) kerana Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak seperti semakin kehilangan arah dan melupakan jasa penulis terutama blogger dan wartawan alternatif; kerana tidak memberi ruang dan peluang kepada ‘penulis’ di dalam Bajet 2012.

Najib sudah lupa wasiat Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussin, yang begitu menghargai penulis dan merupakan satu-satunya Perdana Menteri di Malaysia yang menjiwai semangat, perasaan dan pahit maung penulis di segenap bidang, termasuk era internet, sekalipun ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri, Internet masih dalam kandungan rahim ICT.

Dalam wasiatnya, Allahyarham Tun Abdul Razak berkata;

“Saya berpendapat penulis yang berbakat sepatutnya mendapat kesempatan untuk menulis dengan ‘serius’ terus menerus dan dapat hidup lumayan dengan pekerjaannya itu.”

“Dia tidak harus terpaksa melibatkan diri dalam pekerjaan-pekerjaan lain yang akan mengganggu kesempatannya untuk terus menerus berfikir, meneliti, belajar, mencari pengalaman menulis. Keadaan seperti ini belum pernah wujud di Negara kita dan dengan kerana itu sudah banyak penulis kita yang berbakat di masa lalu hilang begitu sahaja,”

Legasi Tun Razak ini tidak diwarisi anaknya kerana Najib tidak berkesempatan untuk berfikir sebagai seorang pemimpin dan bekerja sebagai seorang khadam rakyat.

Maka Kerajaan Najib tidak mesra penulis buku kontroversi dan blogger seperti saya yang dianggap penyibuk dan menentang kerajaan; serta dituduh menyebar dakyah palsu kerana menghentam pemimpin BN yang ‘disolek agar berwajah nabi, tetapi berhati babi’.

Untuk kekal dan terus menjadi Perdana Menteri selepas pilihanraya umum akan datang, Najib sewajarnya menerima dengan hati terbuka ‘Banci’ yang diadakan pelbagai pihak bahawa populariti beliau menurun secara mendadak; bukannya melenting dengan banci berkenaan yang dibuat oleh rakyat kebanyakan secara rambang.

Menafikan populariti Najib menurun, sama seperti tidak mahu rakyat Malaysia mengundi Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum akan datang kerana banci berkenaan adalah suara rakyat iaitu suara satu pertiga Golongan Menengah dan Pertengahan yang membuat keputusan untuk golongan dua pertiga lagi.

Walaupun rakyat Malaysia kini seramai 27,565,821 (Banci 2010), namun hanya 12 juta sahaja yang menjadi pemilih berdaftar, tetapi pihak yang akan membuat keputusan memilih 222 Ahli Parlimen tidak sampai 7 juta orang atau kurang satu pertiga daripada jumlah penduduk Malaysia.

Dalam keadaan ‘Nazak’ seperti sekarang, Najib wajar melaksanakan Wasiat Allahyarham bapanya, ‘Menginstitusikan Penulis’ dan ‘Berkawan dengan Blogger dan Media Alternatif’ yang selama ini menjadi punca kehilangan majoriti dua pertiga Kerajaan BN pada 2008.

Mewujudkan rakan siber secara terpilih iaitu melalui ‘Facebook dan Twitter’, adalah kesilapan besar Najib dalam pentadbirannya kerana meletakkan ‘Internet’ sebagai ‘Toys’; sedangkan majoriti pemikir bangsa tidak mempunyai masa untuk melayan ‘Twitter atau Facebook’ yang menjadi tempat menggunjing (Gossip); sebaliknya mereka menumpukan perhatian secara serius dalam bidang penghasilan buku dan blog atau laman web.

Membanteras rasuah di zaman Najib, tidak sesukar di zaman Mahathir atau Allahyarham Tun Razak menjadi Perdana Menteri kerana puluhan ribu blog atau laman web, termasuk Sabahkini.net dan rakan sekutunya SabahkiniTV mendedahkan pelbagai kepincangan secara bertanggung jawab.

Namun memulihkan ‘Integriti dan Transparensi’ di zaman Najib bagaikan igauan ngeri mangsa kemalangan yang terputus dua kaki kerana memandu kancil di lebuhraya dengan kelajuan 120 KMH.

Dengan rasuah yang sudah menjadi budaya di Jabatan Perdana Menteri dan UMNO, adalah tidak mungkin untuk melonjakkan kedudukan Malaysia daripada tangga 56 di statistik Transparensi International kepada tangga pertama berkongsi mata dengan Singapura; malah akan terus merudum kerana Mahkamah Malaysia sudah menjadi ‘Bursa Saham’!

Mengendali Sabahkini.net tanpa sebarang dana daripada pembaca atau penaja, bukanlah mimpi indah kerana selain tidak cukup tidur, terpaksa membelanjakan wang simpanan untuk mendapatkan makluman, membayar elaun wartawan, membayar server, menaiktaraf jalur lebar dan ‘BurukBand’; malah terpaksa turun naik mahkamah demi perjuangan membela rakyat.

Dalam keadaan rakyat yang semakin dihimpit inflasi dan diracuni rasuah, saya tidak sampai hati untuk meminta derma lagi daripada para pembaca yang telah memberikan sumbangan fikiran dan komen yang bernas; apatah lagi selama Sabahkini.net beroperasi sejak 2006, belum ada rakyat Sabah yang menghulur derma walau satu Yen atau satu Rupiah melalui tabung yang ditubuhkan.

Tambahan pula, pemimpin Sabah semakin hipokrit dalam memperjuangkan kedaulatan dan keselamatan Sabah daripada ancaman Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau ‘Generasi Pra Matang’ (Pemegang IC Projek) kerana terlalu memikirkan habuan berunsur hirarki politik atau peluang membuat wang melalui isu PATI yang dicanangkan.

Memandangkan kuasa untuk membuat keputusan, termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja terletak di pihak Kerajaan Persekutuan, maka perjuangan ‘Sifar PATI’ tidak akan menjadi realiti kerana PATI adalah ‘Perniagaan Menguntungkan’ Kerajaan Persekutuan yang memungut pelbagai levi dan fi.

Kerajaan Negeri Sabah yang telah dilumpuhkan kuasa politik melalui ‘Fixed Deposit’ tidak mampu berbuat apa-apa, melainkan melihat dengan putih mata PATI keluar masuk setiap hari tanpa kawalan; sekalipun belanja untuk membangunkan Sistem Biometrik dan pemantauan PATI boleh digunakan untuk menurap semua ‘Jalan Khinzir’ di Sabah dan menyediakan bekalan elektrik dan air kepada 3.2 juta rakyat Sabah, termasuk sebahagian besarnya PATI!

Lalu niat saya untuk menggantung pena ditangguhkan lagi pada tahun ini kerana ‘putus asa’ adalah mengaku kalah sebelum berjuang; sedangkan itu bertentangan dengan prinsip saya yang gemar menumpaskan lawan di luar gelanggang!

Menteri-menteri Kabinet Najib semakin hilang akal kerana berperangai seperti manusia terencat akal dengan melakukan tindakan di luar tabii seperti membazirkan wang rakyat melalui projek Top-UP dan menafikan wujudnya pengundi hantu dan warga asing diberikan IC Projek.

Mungkin lebih bermaruah jika Hishamuddin yang menafikan wujudnya IC Projek memberikan pampasan kepada 15 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara atau waris mereka kerana mereka bukan sahaja dianiaya, malah dirampas hak mereka untuk mendapatkan tunggakan gaji dan dipecat tanpa sebarang pampasan.

Mereka yang teraniaya ialah;

01) Hamzah Tim (540111-12-5197),

02) Asli Sidup (641013-12-5049),

03) Balasius Biajin (H0213470),

04) Mohd Tohid Mohammad (531105-01-5261),

05) Mohd Nasir Sungip (560718-01-5443),

06) Ibnuham Tajur Ariffin (H0623810),

07) Ishak Yusuf Apok (620121-12-5289)

08) Azmi Karim (7206157)

09) Juliah Binti Damsah (550512-12-5218)

10) Yakup Damsah (H0194194)

11) Mohammad Razali Samin (H0579766)

12) Jumahat Taripin (520810-12-5059)

13) Abdul Rauf Sani (3486637)

14) Zakaria Bin Ahmad (570414-08-5863)

15) Kee Dzulkifly Kee Abd Jalil (H0653891)

Walaupun pilihanraya masih jauh, tetapi ramai Presiden Parti dan Pemimpin Parti Politik di Sabah semakin bacul dan takut untuk menyambut panggilan telefon ‘Wartawan Sabahkini.net’ dan mengendali partinya secara ‘Syok Sendiri’ kerana rakyat sudah mula kata “Pergi” dan kubur mula kata “Mari!”.

Akhirkata, kepada pemimpin parti politik yang terjangkit sindrom 3K iaitu ‘Kia Su, Kia Si dan Kia Bo’ (Takut Rugi, Takut Mati dan Takut Bini) agar BERSARA daripada dunia politik sebelum dijatuhkan dengan cara paling hina, sekalipun mempunyai kuasa untuk menukarkan kaca menjadi permata!

No comments:

Post a Comment