Sunday 16 October 2011

THAMRIN JAINI KEMBALI KETUAI PKR SABAH



Oleh : G. MANIMARAN

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) melantik semula Ahmad Thamrin Mohd Jaini sebagai pengerusi parti itu di peringkat Sabah, berkuat kuasa kelmarin, selepas tadbirannya diuruskan oleh kepimpinan pusat selama 10 bulan ekoran krisis dalaman.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pelantikan Ahmad Thamrin, yang menurutnya satu keputusan penting bagi PKR Sabah telah dibuat selepas proses rundingan dengan pimpinan parti peringkat Sabah.

“Pimpinan PKR Sabah bersetuju bahawa beliau merupakan calon yang terbaik untuk menerajui PKR Sabah dalam terus mengembang dan menggembleng sokongan rakyat Sabah terhadap PKR serta dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13,” kata Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Sehubungan itu kata beliau, Majlis Presiden Sabah yang ditubuhkan untuk memimpin dan mentadbir PKR sejak 27 Januari lalu dibubarkan.

Beliau sendiri mengetuai majlis tersebut ekoran krisis kepimpinan yang muncul selepas pemilihan parti akhir tahun lalu.

“Seterusnya, saya telah juga meminta Ahmad Thamrin untuk segera memulakan rundingan di kalangan pimpinan PKR Sabah bagi menyusun saf pimpinan negeri, yang saya yakin di bawah pimpinan Ahmad Thamrin nanti akan terus berjaya mendapat sokongan dan kepercayaan dari rakyat Sabah dalam memperjuangkan hak dan keadilan yang sewajarnya menjadi milik rakyat Sabah sendiri, tetapi dikorbankan oleh keborosan dan ketamakan Umno dan Barisan Nasional selama ini,” kata beliau.

“Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ketua cabang PKR Sabah serta kalangan anggota-anggota PKR Sabah di atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan kepada Majlis Presiden Sabah yang saya pengerusikan dan saya yakin bahawa kerjasama dan sokongan yang lebih baik akan dapat diberikan kepada Ahmad Thamrin,” katanya lagi.

Thamrin dilantik sebagai ketua PKR Sabah selepas jawatan itu dikosongkan oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan akhir 2009.

Pajudin Noordin dilantik bagi menggantikan Thamrin awal Januari lalu dalam satu rombakan susulan pemilihan pusat tahun lalu, tetapi ia berakhir dengan krisis dalaman dengan majoriti cabang membantah kepimpinan Pajudin.

Ekoran krisis itu, Dr Wan Azizah terpaksa campur tangan untuk menyelesaikan krisis PKR Sabah dan membentuk satu jawatankuasa terdiri daripada tiga pemimpin PKR Sabah.

No comments:

Post a Comment