Saturday 29 October 2011

TONG SAMPAH TERBALIK, HIASAN TERBARU MPS?



Oleh : CHANG SHAK HUNG

LONGGOKAN sampah serta sisa bahan binaan seperti simen dan jubin lantai yang diletakkan di hadapan pintu masuk ke premis perniagaan di Harbour Square, Bandar Sandakan, telah menyulitkan para peniaga menjalankan urusan perniagaan seharian.

Salah seorang pemilik premis, Vivian telah mengajukan permasalahan ini kepada Sabahkini.net pada 28 Oktober 2011 dan wartawan terus melakukan tinjauan ke lokasi tersebut pada jam 5 petang.

Terdapat berpuluh-puluh karung sisa bahan binaan seperti simen dan jubin lantai hanya diletakkan di belakang lorong bangunan, tetapi berhadapan dengan premis perniagaan Vivian serta sebuah restoran melayu yang berdekatan. Selain itu juga, sisa-sisa bahan binaan tersebut telah menghalang sebahagian laluan kenderaan sehingga menyulitkan para pemandu yang melalui lorong berkenaan.

Menurut aduan Vivian, sisa bahan binaan seperti simen dan jubin lantai telah diletakkan di kawasan tersebut sejak 2 minggu lalu, tetapi tidak dibuang ke pusat pengumpulan sampah oleh kontrakor yang bertanggungjawab.

Oleh yang demikian, Sabahkini.net mengambil inisiatif menjemput pemilik sebuah premis yang dikatakan sedang menjalankan pengubahsuaian premis perniagaan beliau dan dipercayai meletakkan sisa bahan binaan tersebut agar memindahkan sisa bahan binaan ke lokasi seperti yang diajukan Vivian.

Pemilik kedai tersebut akur dan kesal dengan sikap malas pekerjanya yang mengambil jalan mudah meletakkan sisa-sisa bahan binaan sehingga menyusahkan pemilik premis perniagaan yang lain.

Setelah memohon maaf, pemilik premis berkenaan telah menghubungi lori pengangkut untuk mengalihkan semua bahan sampah-sarap tersebut dan proses pengalihan dan pemunggahan bahan tersebut telah disaksikan sendiri oleh wartawan Sabahkini.net, Vivian serta pemilik kedai tersebut.

Selain itu juga, Sabahkini.net hairan kenapa tong-tong sampah yang terdapat di kawasan Harbour Square seperti di Blok HS-5 dan blok yang lain, hanya diletakkan secara terbalik, seolah-olah ia tidak dibenarkan membuang sampah ke dalam tong sampah.

Sabahkini.net telah mengajukan pertanyaan tersebut kepada MPS dan mencadangkan jika tempat-tempat tersebut tidak sesuai untuk membuang sampah-sarap, tong-tong sampah tersebut diletak ke tempat lain yang lebih memerlukan tong-tong sampah tersebut.

Tindakan MPS ini hanya membazir wang kerajaan membeli tong sampah dan hanya dijadikan hiasan kerana diletakkan secara terbalik di lokasi tersebut, sedangkan pemilik premis mengadu sistem pelupusan sampah MPS yang tidak teratur dan berbau busuk.

No comments:

Post a Comment