Wednesday 26 October 2011

TRANSFORMASI BISAYA CIPTA KEJAYAAN BERGANDA



BANGGA…..Lajim sedang menyampaikan Anugerah Pingat Seri Setia Janang kepada Mantan Naib Presiden PBBS, Haji Usin Jilon.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

MASYARAKAT Bisaya di negeri ini diajak agar dapat melonjakkan keupayaan, kesungguhan serta komitmen untuk menjadi bangsa yang berjaya bagi mencapai kejayaan dalam apa jua bidang.

Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah, Janang Gayuh Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata bangsa Bisaya pada abad ini perlu mempunyai keupayaan dan kebolehan untuk mencapai hasrat tersebut.

“Ciri-ciri kejayaan masyarakat Bisaya pada abad ke-21 yang berjaya bukan dilindungi tetapi kerana ada kelebihan ilmu, kemahiran berfikir dan minda yang tajam. Inilah perubahan yang mesti ada,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan berkata demikian ketika merasmikan majlis penyampaian pingat dan anugerah sempena Adau Janang Gayuh di Beaufort, baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Presiden PBBS Kamarlin Haji Ombi; Naib-Naib Presiden PBBS Setiausaha Agung PBBS Awang Anak Sani dan Penolong Pegawai Daerah Beaufort Jupry Etok.

Lajim berkata, cabaran pada abad ke-21 amat hebat, justeru bangsa Bisaya perlu bersedia menghadapi segala perubahan dan persiapan yang secukupnya, terutama dari segi modal pembangunan insan melalui pembinaan masyarakat yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran.

“Pembangunan modal insan merupakan aset tidak ternilai ini perlu dikembangkan dan digilap potensinya serta dipandu ke arah kecermalangan; sama ada dari segi individu mahupun secara kolektif, kerana pembangunan insan yang bersifat menyeluruh adalah bagi melahirkan individu yang mempunyai minda kelas pertama,“ katanya.

Sambil berbangga kerana masyakarat Bisaya telah mengorak langkah kehadapan melalui pelbagai pencapaian dalam bidang politik, perkhidmatan awam swasta, ekonomi, sukan, agama, pendidikan dan golongan profesional Lajim; berharap kejayaan tersebut perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi mempastikan masyarakat Bisaya bukan sahaja mampu menyumbang untuk kemajuan masyarakat tersebut, namun menyumbang untuk pembangunan negara.

Beliau berkata bangsa Bisaya perlu menjalin kerjasama dengan kerajaan kerana masa depan mereka juga berkait rapat dengan untung nasib kerajaan sedia ada kerana menurut beliau, kerajaan turut memberikan perhatian serta pengiktirafan kepada masyarakat Bisaya di negeri ini, meskipun masyarakat minority.

“Dalam bidang politik, sektor perkhidmatan awam, ekonomi, pendidikan kita telah diberikan ruang dan peluang yang secukupnya oleh kerajaan. Justeru sumbangan masyarakat Bisaya walaupun sebagai masyarakat minoriti turut diberikan perhatian serta penghargaan oleh kerajaan,” jelas Lajim.

Di majlis tersebut seramai tujuh orang menerima pingat utama iaitu Pingat Seri Setia Janang, Pingat Ahli Setia Janang dan Pingat Setia Janang. Antara penerima utama SSJ mantan Naib Presiden PBBS Haji Usin Jilon; Pingat ASK Allahyarham Jedeh Haji Hashim juga bekas Naib Presiden PBBS Abdullah Haji Okin.

Bagi Pingat PSJ antara penerimanya I Kon 1 Belia Beaufort Ustad Said Awang Damit dan seorang penulis prolifik di negeri ini, yang juga Yang Dipertua BAHASA, Jasni Matlani.

Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia Sabah Abd.Sanon Haji Sapri pula antara salah seorang penerima Anugerah Khas Janang Gayuh, manakala seorang ahli perniagaan, Jawarin Nasar merupakan penerima tunggal bagi Anugerah Usahawan Jaya.

Anugerah Perkhidmatan Awam diberikan kepada Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Yunus Haji Saprin dan Dr.Siti Norhasizah Maad seorang doktor di Hospital Likas.

No comments:

Post a Comment