Thursday 20 October 2011

TRANSFORMASI PETRONAS, NADI PEMBANGUNAN SABAH



Oleh : DATUK RAIMI UNGGI

PETRONAS telah melabur RM16.7 bilion dalam lima projek hiliran di Sabah menjelang 2015 serta RM28.3 bilion dalam projek pengeluaran sumber minyak dan gas di lapangan Gumusut-Kakap, Malikai dan Kinabalu NAG di perairan Sabah. Sila ikuti intipati perbahasan Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) Datuk Raimi Unggi di Dewan Rakyat.

Tuan Yang di-Pertua,

TERIMA kasih kerana memberi saya ruang dalam membahaskan Bajet 2012 dalam dewan yang mulia ini. Saya selaku Ahli Parlimen Tenom dari Sabah, sentiasa mengalu-alukan pembentangan setiap bajet yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan.

Saya tidak memahami mengapa terlalu obses pihak di sebelah sana mengkritik, menghentam, mencurigai, tidak berlapang dada dan buruk sangka terhadap niat ikhlas Kerajaan dalam membantu sedaya upaya rakyat segenap bangsa dan latar belakang.

Kalau kita lihat, bajet ini adalah sebahagian daripada misi-misi nasional dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dan sudah tentu ia dilakukan satu persatu dalam melengkap perancangan jangka panjang.

Jadi sudah tentu, setiap bajet yang dibentangkan itu diutamakan perkara mana yang hendak didahului dan disesuaikan dengan situasi semasa. Tidak semestinya sesuatu aspek pada tahun bajet yang dibentangkan nampak tercicir sedangkan aspek tersebut telah disebut dalam bajet yang lalu tetapi ianya masih mengikut di bawah perancangan RMK-10.

Kalau ini pembangkang tidak memahami prinsip-prinsip asas dalam ekonomi, maka saya fikir pembangkang tidak bermaya dalam memberikan idea-idea yang konstruktif atau membina sejak hari pertama membahaskan bajet.

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman dewan yang mulia ini, sedar atau tidak, perancangan pembangunan negara sekarang adalah ke arah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. Definisi negara maju seperti digariskan organisasi antarabangsa, United Nation (UN) bukanlah dinilai berdasarkan mewahnya duit dimiliki sesebuah negara itu atau limpahan hasil galiannya, mahupun tanah yang terbentang luas, sebaliknya negara maju ditakrif berpandukan beberapa ciri yang telah digariskan Kerajaan selama ini, umpamanya Wawasan 2020. Dan sekarang ini diteruskan dengan Program Transformasi Negara dan disokong dengan NKRA dan sebagainya.

YAB Perdana Menteri telah menyebut bahawa beliau tidak akan menjanjikan penyelesaian serta-merta, tetapi akan berusaha memastikan asas kepada dasar sedia ada adalah betul untuk memelihara pertumbuhan ekonomi yang kini berada di paras diidamkan negara lain yang lebih maju, untuk mewujudkan persekitaran sesuai bagi pertumbuhan sektor pekerjaan serta memastikan bahawa kita mempunyai dasar pekerjaan yang mengiktiraf perubahan realiti di Malaysia terutama faktor jangka hayat yang meningkat.

Saya melihat lima fokus diberi keutamaan dalam Bajet 2012 iaitu meligatkan pelaburan, mengungguli modal insan, mencerna kreativiti dan mencetus inovasi, program transformasi luar bandar, memperkasakan perkhidmatan awam serta meredakan inflasi dan mengimarahkan kehidupan rakyat.

Jelas bajet kali ini disifatkan belanjawan transformasi untuk semua rakyat Malaysia memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat Malaysia bermula daripada murid sekolah, ibu bapa, kakitangan awam, peniaga, pemandu teksi, warga emas, peneroka Felda, nelayan, kakitangan hospital, polis, tentera sehinggalah kepada syarikat korporat.

Tuan Yang di-Pertua,

Setiap kali pembentangan bajet, negeri yang selalu memberi sumbangan besar kepada KDNK negara adalah negeri Selangor, Johor, Pulau Pinang, Terengganu dan Wilayah Persekutuan. Tetapi percayalah bahawa negeri Sabah sebenarnya berpotensi besar dalam menyumbangkan kepada KDNK negara sekiranya sumber asli digembleng secara holistik.

Sabah boleh berbangga kerana sumbangan besar dalam geo-politik negara dan boleh saya katakan, negeri Sabah adalah antara faktor pengimbang kepada kestabilan politik serta kekuatan kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sejajar dengan kekuatan dalam geo-politik negara, sudah pasti geo-ekonomi juga perlu dipertingkatkan dan saya berani memberi jaminan, negeri Sabah boleh mengatasi negeri Selangor apabila perancangan pembangunannya seimbang menerusi program-program yang sedang, telah dan akan diatur.

Lihat sahaja penglibatan Petronas yang melabur RM16.7 bilion dalam lima projek hiliran di Sabah menjelang 2015 serta RM28.3 bilion dalam projek pengeluaran sumber minyak dan gas di lapangan Gumusut-Kakap, Malikai dan Kinabalu NAG di perairan Sabah.

Kalau kita lihat komoditi minyak dan gas yang dijana di lapangan Gumusut-Kakap, Malikai dan Kinabalu NAG itu akan disalurkan untuk diproses di Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis. Ia kemudian disalurkan ke pelbagai projek hiliran di Sabah serta Kompleks LNG PETRONAS di Bintulu, Sarawak.

Projek SOGT yang dikendalikan PETRONAS Cari Gali Sdn Bhd bernilai RM3.8 bilion mampu menerima, memproses dan menyimpan minyak serta gas yang dihasilkan di ketiga-tiga lapangan berkenaan.

Saya melihat projek ini mampu membekalkan 260,000 tong minyak sehari dan 1,250 juta kaki padu standard gas sehari itu, yang telah dimulakan beberapa bulan lalu dan dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung 2013.

Tuan Yang di-Pertua,

Baru-baru ini pun dalam laporan akhbar di segmen Ekonomi Berita Harian bertarikh 29 Julai 2011 melaporkan, Petronas membuat dua penemuan penting gas asli di kawasan air cetek luar pantai barat Sabah, yang berpotensi meningkatkan lagi bekalan sumber itu bagi memenuhi permintaan domestik.

Buat makluman dewan yang mulia ini, Malaysia adalah pengeksport gas asli cecair (LNG) kedua terbesar selepas Qatar pada 2009, namun jatuh ke tangga ketiga selepas Indonesia tahun lalu berikutan penurunan pengeluaran daripada lapangan gas yang uzur.

Pertemuan terbaru itu menunjukkan ia berada di lokasi telaga Zuhai East-1, yang terletak di Blok Samarang Asam Paya, kira-kira 130 kilometer di barat daya Kota Kinabalu dan anggaran semasa kandungan gas di kawasan itu adalah 550 bilion kaki padu standard (bscf).

Pada masa sama, satu takungan yang sama di telaga berdekatan kira-kira lima kilometer ke timur dari kawasan penemuan Zuhai East diuji mengandungi aliran gas pada kadar maksimum 21 juta bscf sehari.

Sementara itu, penemuan kedua pula adalah di telaga Menggatal-1 ditemui di Blok SB312, kira-kira 110 kilometer ke timur laut Kota Kinabalu. [PSC Blok SB312 itu adalah usaha sama antara PETRONAS Carigali yang memegang ekuiti 60 peratus dan KUFPEC Malaysia (SB 312) Ltd, iaitu satu anak syarikat Kuwait Foreign Petroleum Exploration Co, yang memegang baki kepentingan]

Tuan Yang di-Pertua,

Sabah merupakan negeri kedua paling besar di Malaysia dengan keluasan tanah 73,610 km persegi. Sabah kaya dengan sumber-sumber semulajadi seperti hutan, galian, fauna, flora hinggalah ke hidupan laut.

Lebih kurang 60 peratus daripada tanahnya diliputi dengan hutan rimba manakala kawasan tanah pertanian merangkumi 30 peratus. Sumber perhutanan dan pertanian adalah penyumbang utama kepada sumber pendapatan negeri Sabah. Bahan mentah seperti minyak, tembaga, emas dan batu kapur juga didapati di negeri ini.

Oleh itu, saya percaya sekiranya royalti-royalti minyak mentah dan gas asli ditingkatkan dan diberikan kepada Kerajaan Negeri Sabah, sudah pasti dana-dana dan peruntukan wang ringgit bagi pembangunan dapat dilipatgandakan.

Sabah perlukan royalti tersebut bagi menjayakan program ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi. Seperti yang saya nyatakan dalam perbahasan awal, program RTC dan RTP akan mudah tercapai apabila adanya tambahan atau nilai gandaan ekonomi hasil daripada royalti pertemuan gas asli dan minyak mentah di perairan negeri Sabah.

Pohon Kerajaan Pusat menimbangkan demi pembangunan Sabah yang saya kira akan menjadi negeri paling maju apabila menjelangnya tahun 2020.

Tuan Yang di-Pertua,

Walaupun ramai berbahas soal defisit, hutang negara, pembangunan inovasi dan sebagainya, saya percaya rakyat mahukan terbaik daripada Kerajaan. Tidak kiralah rakyat itu datang dari bandar mahu pun luar bandar.

Sudah tentu rakyat luar bandar terutamanya mahukan lebih baik daripada apa yang mereka perolehi sekarang. Tidak terkecuali kawasan saya di Tenom. Di sana, ramai penduduknya bekerja dalam sektor pertanian. Antaranya ialah meneruskan sektor pertanian yang masih menjadi nadi utama negara iaitu getah.

Kalau kita lihat suatu ketika, ramai di kalangan penoreh atau pekebun getah berada di paras kemiskinan tegar ekoran harga getah jatuh merudum seolah-olah tiada lagi harapan untuk kembali naik dan stabil.

Sejarah mencatatkan pada 1974 penoreh getah di Baling, Kedah berdemonstrasi kerana tidak berpuas hati dengan kejatuhan harga komoditi itu pada tahap sangat rendah.

Akibatnya ramai yang terpaksa mencari punca pendapatan lain seperti bertani, berniaga kecil-kecilan, bekerja di kilang dan terpaksa melakukan apa saja pekerjaan demi untuk mencari rezeki halal menyara keluarga.

Malah, berdasarkan statistik, keluasan penanaman getah merosot antara 1993 dan 2003 iaitu dari 1.76 juta hektar kepada 1.32 juta hektar atas pelbagai faktor yang antaranya perubahan guna tanah kepada aktiviti ekonomi lain.

Namun, kini nasib penoreh dan pekebun getah kembali cerah dan semakin makmur apabila harga getah melonjak naik berganda-ganda sehingga mereka yang telah lama meninggalkan ladang getah, kini kembali menoreh kerana lebih menguntungkan berbanding pekerjaan sedia ada.

Harga getah yang kini melambung sehingga RM14.13 sekilogram, paling tinggi dalam sejarah dan dijangka berkekalan sehingga hujung tahun ini serta suku pertama tahun 2012 tahun depan berbanding lima tahun lalu sekitar RM4 sekilogram. Peningkatan itu memberi manfaat kepada lebih 350,000 keluarga pekebun kecil getah di seluruh negara dan dengan harga sekarang, pekebun kecil getah kini boleh memperoleh pendapatan RM1,500 hingga RM2,500 sehektar sebulan.

Fenomena kenaikan harga getah berlaku ekoran permintaan tinggi di pasaran antarabangsa, khususnya China dan India yang pesat membangun, manakala pengeluaran rendah di negara-negara pengeluar terbesar seperti Thailand dan Indonesia ekoran politik serta ekonomi yang tidak stabil di samping faktor kenaikan harga getah sintetik yang tinggi berikutan kenaikan bahan bakar petroleum.

Industri pembuatan tayar di China dan automotif India juga merupakan penyumbang terbesar kepada kenaikan itu. Ekoran harga getah yang kekal stabil dan tinggi maka negara mensasarkan peningkatan sumbangan industri getah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kepada RM70 bilion menjelang 2020 berbanding RM25 bilion pada 2009.

Di Sabah, Lembaga Getah Sabah Malaysia mengawal selia komoditi getah di negeri ini dan saya berharap untuk memastikannya komoditi getah berada di tahap memberangsangkan, saya mencadangkan industri getah wajar diberi fokus khas di bawah Bahagian Ekonomi Utama Nasional (NKEA) memandangkan industri itu turut menyumbang kepada KDNK sejak dulu lagi dan Malaysia pernah menjadi antara negara pengeksport dan pembekal getah terbesar dunia.

Tuan Yang di-Pertua,

Di Sabah, Tenom adalah kawasan terbesar bagi penanaman dan hasilan getah iaitu kira-kira 10,000 hektar. Sehubungan itu, saya berpandangan negara perlu menarik lebih banyak pelaburan swasta dalam industri getah dan berkaitan getah memandangkan komoditi ini serta hasil hilirannya penting bagi memperkukuhkan kedudukan negara dalam sektor ini.

Malahan saya melihat sektor ini akan terus menyaksikan potensi cerah dengan eksport produk getah meningkat didorong pemulihan sektor automotif global dan domestik serta pertumbuhan permintaan sarung tangan getah.

Buat makluman dewan yang mulia ini, Malaysia ketika ini kekal sebagai negara ketiga pengeluar getah terbesar dunia selepas Thailand dan Indonesia, dengan pengeluaran 900,000 tan setahun. Terdapat lima destinasi utama eksport produk getah negara ketika ini iaitu China, Amerika Syarikat, Jerman, Jepun dan Brazil yang membentuk 58 peratus daripada jumlah eksport.

Malahan kalau kita lihat harga getah asli dijangka terus mengukuh berikutan kemerosotan stok getah asli di negara-negara pengguna utama dan beberapa faktor lain menjadikan harga getah mampu bertahan tinggi di pasaran global.

Di samping itu juga sebelum tahun 2020, industri sarung tangan getah yang menjadi antara produk utama industri getah dijangka menjana RM30 bilion dalam pendapatan daripada RM10 bilion yang dijana ketika ini di mana Malaysia, Thailand dan Indonesia masih berperanan sebagai pengeluar getah tertinggi di dunia dengan penguasaan pasaran terbesar adalah Malaysia sebanyak 62 peratus diikuti Thailand (25 peratus) dan Indonesia (9 peratus).

Lebih membanggakan ialah Malaysia kini mengeksport ke lebih 185 negara di seluruh dunia dan komited membangunkan getah serta industri berasaskan getah bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi utama pilihan pelabur asing serta tempatan.

Sungguhpun begitu, dalam keghairahan kenaikan harga getah asli di pasaran dunia, namun perlu diingatkan bahawa getah sintetik masih menjadi ancaman utama kepada getah asli memandangkan harga getah sintetik masih kompetitif berbanding getah asli dan jika berlakunya kejatuhan harga minyak di pasaran dunia akan menjadikan getah sintetik lebih murah.

Sejak dulu lagi getah sintetik menjadi saingan terdekat kepada getah asli, namun begitu industri getah negara masih bernasib baik kerana getah sintetik tidak boleh digunakan sebagai asas bagi semua produk berasaskan getah contohnya pembuatan tayar kereta sama sekali tidak boleh menggunakan getah sintetik.

Tuan Yang di-Pertua,

Biarpun kenaikan harga getah kekal stabil, tinggi dan begitu kompetitif sekali, semua pekebun diingatkan agar tidak cuai dalam meningkatkan penjagaan kebun mereka dengan pembajaan, meracun dan pengawalan mutu pokok supaya hasilnya sentiasa bertambah dan bermutu tinggi.

Walaupun harga getah terus meningkat, pekebun perlu supaya sentiasa menabung dan berjimat cermat bagi bersiap sedia terutama pada musim hujan dan tabungan untuk masa depan keluarga. Pekebun getah juga disarankan bijak mengaplikasikan penggunaan teknologi dalam meningkatkan pengeluaran tanaman getah masing-masing, sekali gus menambah pendapatan mereka di masa depan.

Saya juga cadangkan sekiranya Kerajaan mempunyai Dana Kecemasan buat pekebun kecil bagi menghadapi sebarang ancaman dan kecemasan. Pohon dipertimbangkan.

Tuan Yang di-Pertua,

Seperkara yang lain ialah soal penambahbaikan kualiti. Kita tahu negara mempunyai Skim Getah Piawai Malaysia atau Standard Malaysian Rubber (SMR) yang diperkenalkan pada tahun 1965 oleh RRIM telah mengrevolusikan penyampaian, kualiti dan pemasaran getah asli.

Di bawah skim ini, getah digredkan secara teknikal berdasarkan teknikal spesifikasi dan bukan lagi menggunakan sistem penggredan visual yang digunakan untuk kepingan getah dan ‘crepe’ mill semula. Pada dasarnya ianya adalah satu skim pengawalan kualiti yang memastikan piawai dan menambahbaik pemasaran untuk bersaing dengan perusahaan sintetik.

Sejajar dengan dasar kerajaan untuk menambah pengeluaran produk-produk tambah nilai tempatan, saya hendak tahu setakat mana RRIM bersama dengan TARRC di United Kingdom, telah membangunkan getah-getah baru secara inovasi seperti getah asli terepoksida (ENR), getah asli nyahprotein (DPNR), getah asli termoplastik (TPNR) dan lain-lain.

Apakah bahan-bahan baru ini telah menambah ruang untuk aplikasi-aplikasi baru terutamanya kejuruteraan berat termasuk pemencil gempa bumi dan satu lagi pembangunan yang penting adalah getah asli cecair (LNR) yang mempunyai beberapa kegunaan perusahaan. Setakat mana statusnya ?

Tuan Yang di-Pertua,

Pada awal penggunaanya, getah pokok digunakan sebagai bola lantun dan barangan kalis air oleh penduduk asli Amerika Selatan. Sejak itu, getah asli telah berkembang menjadi bahan mentah industri yang serba guna. Hari ini, ianya telah digunakan di dalam pelbagai produk dari yang mudah seperti gelang getah hingga ke tayar penggerak tanah yang paling besar.

Pembuatan produk getah telah dikenalpasti sebagai industri utama di dalam Program Perindustrian Malaysia. Kerajaan, melalui RRIM, telah menubuhkan Pusat Teknologi moden yang menelan jutaan ringgit untuk membantu mempercepatkan program perindustrian tersebut. Selain daripada itu, pusat ini juga memberi khidmat nasihat tentang pembuatan produk getah termasuk penilaian proses, rekabentuk produk dan ujian bahan.

[Sebahagian teknologi pembuatan produk getah yang telah digunakan oleh industri getah adalah seperti berikut:

•Engine mountings for isolation of engine vibrations from the rest of the vehicle

•Cutless bearings for protection of the boat propeller shafts

•Jaket Keselamatan yang menggunakan adunan NR/EVA mikroselular yang berketumpatan rendah

•NR rail pads which act as rubber cushions between the rail and concrete sleepers

•Jubin sasaran perangkap peluru

•Improved tyre valves for the automobiles

•Runway sealants based on NR and oil-resistant SR

•Oil palm bunch waste rubberised coils

•Hos radiator berasaskan campuran NR dan EPDM untuk kenderaan bermotor

•Cat berasaskan getah termoplastik untuk mainan kanak-kanak yang diperbuat daripada getah mudah lentur.

•Rail crossing sealants based on NR and NBR

•Diafragma brek udara di dalam kenderaan bermotor

•Penyangkut ekzos fleksibel bagi menghubungkan ekzos ke cesi kenderaan

•Plag lantai kereta Proton

•Komponen automotif yang dibangunkan untuk pembekal Proton seperti jalur cuaca, sesendal, pencelup minyak enjin, bingkai cermin sisi dan lain – lain lagi

•Pembahagi jalan fleksibel

•Bonggolan jalan untuk tujuan keselamatan

•Cebisan tayar dalam pembuatan jubin lantai taman permainan kanak-kanak

•Ves getah kalis peluru untuk anggota polis

•Perekap panghalang hujan yang digunakan pada permukaan pokok getah yang tidak rata

•Aci pacu dan penembus angin berasaskan sebatian ENR 50

•Sebatian tayar celup beasaskan 100% getah asli yang digunapakai di dalam tayar DMIB Kilomax

•Telapak tayar pratervulkan yang mengandungi kandungan getah asli yang tinggi dan mempunyai prestasi setanding dengan getah sintetik.

•Relaxed modulus (MR 100) tester for rapid measurement of modulus of rubber vulcanisate

•Sebatian peredam pemetik picu bom untuk MINDEF

•Relang-O rintangan lemak dan injap untuk mesin pemerah susu yang berasaskan ENR

•Rubber bridge bearings which are now widely used (over 35 000 pieces) in Malaysia

•Seismic rubber bearings for earthquake protection of buildings

•NR latex-modified concrete, mortar and cement with improved flexural and compressive strengths

•NR-based adhesives

•Natural rubberised bitumen for surfacing of road

•Development of non-sulphur essentially nitrosamine- and nitrosatable-free formulations for prevulcanised latex ] – Contoh inovasi teknologi getah – rujukan YB

Soalnya sekarang ialah apakah benar inovasi yang dikeluarkan bagi teknologi getah ini terhalang ? Setakat mana paten telah dikeluarkan bagi projek inovasi teknologi getah ini dan setakat mana jumlah paten yang masih belum diluluskan?

Kita tidak mahu komoditi getah dan berkaitan dengannya terhalang. Kita mahu komoditi getah terus menjadi tonggak eksport negara yang utama bagi menyumbang kepada ekonomi negara untuk jangka masa yang panjang.

Tuan Yang di-Pertua,

Kerajaan dalam Bajet 2012 ada menyentuh mengenai peruntukkan RM1 bilion bagi melaksanakan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) . Ini termasuklah soal mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) sebagai pusat integrasi perkhidmatan dan peluasan di Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak.

Inilah yang diperkatakan oleh saya iaitu ke arah usaha seimbangkan pembangunan luar bandar dan bandar. Bila jurang dikurangkan, usaha ke arah mewujudkan negara maju semakin dicapai dan secara langsung, usaha meningkatkan negara berpendapatan tinggi dapat direalisasikan.

Ciri-ciri negara maju telah digariskan iaitu mewujudkan Dana Perkhidmatan Profesional bagi profesional terlatih berjumlah RM100 juta secara pinjaman dengan kadar faedah empat peratus, melaksanakan Projek Lonjakan Mega Luar Bandar di 11 kawasan Projek Agropolitan seluruh negara dengan peruntukan RM110 juta serta untuk pembangunan infrastruktur asas luar bandar membabitkan antaranya bekalan air dan elektrik; rumah dan jalan raya iaitu memperuntukkan RM5 bilion.

Soalnya sekarang ialah ada pihak tertentu tidak dapat membayangkan perancangan dan pelaksanaan RTP dan RTC. Secara umum, pengumuman YAB Perdana Menteri itu memberi gambaran bahawa suatu perubahan besar akan berlaku di kawasan luar bandar. Luar bandar sering dikaitkan dengan kemunduran, cara hidup tradisional dan pemikiran kampung, bercucuk tanam dan jauh daripada kegiatan ekonomi.

Jika RTP dibayangkan dalam bentuk perubahan fizikal, ia bermakna sebuah kawasan di luar bandar atau sebuah kampung itu berubah wajah setelah mengalami proses transformasi. Ia mungkin boleh dibayangkan sebagai sebuah pekan atau bandar moden yang lengkap dengan segala kemudahan tetapi jauh dari bandar.

Proses transformasi ini perlu melalui satu proses yang panjang. Tetapi, saya melihat RTP, memendekkan proses ini melalui pendekatan yang digunakan Kerajaan. RTP adalah pelengkap kepada program transformasi menyeluruh negara yang diperkenalkan YAB Perdana Menteri.

Perlu diingat matlamat RTP ialah menjadikan luar bandar sebagai tempat tumpuan baru pelbagai bidang kegiatan. Ia menjadikan kawasan luar bandar sebagai tarikan pelabur, menyediakan peluang pekerjaan dan menjadikan ia kawasan yang lengkap dengan segala kemudahan dan keistimewaan.

Bila kawasan luar bandar mempunyai segala-gala keperluan seperti di bandar, isu penghijrahan dari luar bandar ke bandar, dengan sendirinya terhenti. Apa yang mungkin berlaku, penghijrahan dari bandar ke luar bandar mungkin pula terjadi.

Proses ini sudah pun bermula khasnya di kawasan-kawasan semi-luar bandar yang sudah pun mempunyai industri tertentu. Bila wujud industri, wujud peluang pekerjaan. Bila sesuatu kawasan menjadi tumpuan, pemaju atau kontraktor binaan terdorong untuk membina bangunan kediaman.

Ini akan menyebabkan wujud keperluan membina sekolah, masjid dan rumah ibadat lain. Dengan bilangan penduduk yang ramai dan mempunyai keupayaan berbelanja, sektor perniagaan akan tumbuh dengan cepatnya. Ini termasuk rumah-rumah kedai dengan pelbagai jenis jualan, pejabat, restoran, bank, pasar raya dan sebagainya. Dengan sendirinya, kemudahan asas perlu disediakan mengikut kepantasan transformasi.

Tuan Yang di-Pertua,

Tentunya, untuk sampai ke kawasan ini juga memerlukan satu proses transformasi berikutan keperluan membina jalan atau lebuh raya atau segala bentuk sistem pengangkutan yang boleh mempercepatkan hubungan. Sistem komunikasi juga terpaksa disediakan segera berasaskan permintaan yang pastinya menggalakkan.

Semua yang akan berlaku dan berkait-kait ini akan mempercepatkan pula proses mewujudkan RTC. Kalau kita lihat bahawa RTC ialah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian; perbankan dan insurans; khidmat nasihat perniagaan; latihan dan kemahiran; klinik serta ruang niaga.

Penjelasan mudahnya, apa juga urusan yang sebelum ini terpaksa diselesaikan di bandar, disediakan di luar bandar. Ia bukan saja menjimatkan masa, tenaga dan wang, tetapi meningkatkan status luar bandar. Secara langsung di luar bandar sudah ada pejabat-pejabat utama kerajaan dan pegawai-pegawai berkaitan.

Ketika itu, contohnya, untuk menguruskan sesuatu pinjaman bagi membina kilang, diselesaikan menerusi pejabat peguam dan arkitek atau pinjaman di cawangan bank yangi diwujudkan di luar bandar. Tidak dapat digambar satu hari nanti penduduk luar bandar minum di restoran Starbucks atau Coffee Bean yang terletak di sebuah bangunan indah di tepi sawah yang tidak jauh dari restoran Kentucky Fried Chicken di tepi sungai.

Begitu juga, penduduk luar bandar membeli-belah di Jayajusco, Tesco atau Carrefour di tepi lombong. Jika badan letih, mereka pergi berenang di kolam renang, kemudian sauna atau jacuzzi dan spa. Cuma, mereka mungkin tidak berminat bermain golf kerana selama ini pun mereka sudah puas menebas lalang yang mengguna teknik dan gerakan tangan hampir sama memukul bola golf.

Dengan cara begini, matlamat untuk mencapai negara-negara maju seperti di Eropah boleh dicapai mengikut perancangan. Saya percaya kepantasan cara kita bertindak membolehkan Malaysia sebaris dengan negara-negara maju lain pada tahun 2020.

No comments:

Post a Comment