Tuesday 18 October 2011

WANITA, MODAL INSAN TERPENTING



KEK....Azizah bersama jemputan dan ahli jawatankuasa PWCB memotong ulangtahun ke-15 PWCB di Dewan Baru Beaufort.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

KAUM wanita kini merupakan modal insan negara yang penting yang telah berjaya membantu negara meneruskan pembangunannya kerana peranan kaum wanita amat menyerlah dalam pembangunan dan perkembangan sosio ekonomi negara.

Di sebalik pencapaian kaum wanita yang semakin menyerlah di negara ini ianya mendapat perhatian yang serius dari pihak kerajaan melalui sokongan dan galakkan secara berterusan,

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita, Datuk Hajjah Azizah Mohd Dun berkata, dalam usaha memperdanakan perspektif wanita dalam pembangunan negara, beberapa jentera nasional bagi pembangunan wanita telah diwujudkan.

Di negeri Sabah katanya, telah diwujudkan Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri, Majlis Penasihat Wanita (MPWS), Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) dan banyak lagi.

“Jika dilihat dari segi peranan, hakikatnya kaum wanita bolehlah dikategorikan sebagai melaksanakan pelbagai peranan atau ‘multi-tasking’. Sebagai contoh, kaum wanita memainkan peranan sebagai seorang ibu kepada anak-anak, isteri kepada suami dan juga anak pula kepada ibu bapa,” katanya.

KENANGAN....Azizah menerima cenderamata daripada Ng sebagai tanda kenangan dan terima kasih.

Beliau berkata wanita juga turut menyumbang bakti kepada masyarakat dengan menyertai NGO serta menjadi tenaga pekerja atau modal insan dalam membangunkan negara.

Azizah menjelaskan perbentangan Buget 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk seri najib Tun Razak baru-baru ini juga telah memberi fokus istimewa kepada wanita sebagai usaha kerajaan meningkatkan tahap keupayaan wanita agar potensi wanita dapat dioptimumkan.

“Belanjawan 2012 dilihat sebagai mesra wanita dengan mengutamakan kebajikan serta mengiktiraf sumbangan mereka kepada negara. Ini membuktikan betapa kerajaan mengiktiraf keupayaan wanita dengan menitikberatkan aspek sosial dan kesihatan agar penglibatan wanita lebih berkesan dalam menjana ekonomi dan seterusnya pembangunan negara,” katanya.

Azizah berkata demikian ketika merasmikan Perayaan Ulang Tahun Persatuan Wanita Cina Beaufort (PWCB) yang ke-15 di Dewan Baru Beaufort, baru-baru ini.

Hadir sama Presiden PWCB, Ng Nyet Chin dan Ketua Masyarakat Cina Beaufort, Jin Min Teck. Pada majlis itu juga Azizah menyempurnakan upacara memotong riben dan kek ulangtahun PWCB.

Beliau yang hadir bersama suaminya, Paiman Abd Karim menyaksikan penyampaian sumbangan PWCB kepada tabung perpustakaan SJKC Kung Ming sebanyak RM 2,000 dan Tabung Ibu Tunggal RM3,000.

Majlis makan malam itu diserikan dengan persembahan nyanyian dan tarian oleh ahli-ahli PWCB.

Azizah yang juga Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias berkata pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan atau NGO juga di beri sokongan dan galakkan oleh kerajaan bagi memainkan peranan ke arah meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti-aktiviti ekonomi dan sosial.

TABUNG....Azizah menyaksikan penyerahan sumbangan kepada tabung perpustakaan SJKC Kung Ming Beaufort.

“Melalui sokongan dan galakan kerajaan inilah persatuan-persatuan perlu memperbanyakkan aktiviti yang dapat mempertingkatkan ekonomi dan sosial. Maka harapan saya agar PWCB ini juga tidak ketinggalan untuk menjadi sebahagian yang mampu membentuk perkembangan masyarakat khasnya di daerah Beaufort ini.

Beliau menyeru agar NGO itu turut menyahut konsep 1 Malaysia dalam menjayakan program-program berbentuk kemasyarakatan.

“Saya mengesyorkan supaya lebih banyak lagi kegiatan diperluaskan lagi untuk melibatkan segenap lapisan masyarakat untuk turut serta khasnya di kawasan beaufort ini. Aktiviti-aktiviti perlu mengandungi kegiatan yang boleh membawa ahli-ahli kepada kesefahaman dan perpaduan antara kaum melalui kegiatan-kegiatan bersama atau bergotong-royong dengan penglibatan semua suku kaum,” katanya

Beliau menambah, kaum wanita melalui persatuan/NGO perlu menyahut cabaran ini dengan meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan bersedia menjalinkan hubungan yang erat di antara satu sama lain dengan berkongsi pandangan dan pengalaman untuk mencapai kejayaan yang lebih bermakna.

“Harapan saya agar wujudkanlah kesepakatan di dalam kita berpasukan. Apa yang penting ialah bagi kita menerima di antara satu sama lain dan memberi sokongan serta galakkan demi kejayaan bersama. Wanita perlu bersatu dan mempunyai satu suara, satu misi dan satu visi dalam membantu kita menyahut cabaran di abad ke 21 ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment