Saturday 19 November 2011

6 MILITAN WARGA INDONESIA AKAN DIUSIR



KESEMUA enam warga Indonesia yang ditahan kerana terbabit dalam aktiviti militan akan diusir segera ke negara asal mereka, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Tujuh lagi warga tempatan yang turut ditahan bersama mereka, katanya akan didakwa di mahkamah sebaik siasatan selesai dan segala bukti dapat dikumpulkan.

Beliau berkata kesemua yang ditahan itu didapati telah mendapat latihan ketenteraan serta terlibat dengan penyeludupan senjata dan kegiatan mereka dikategorikan serius bukan sahaja oleh Malaysia tetapi juga pihak berkuasa Indonesia dan agensi-agensi lain di peringkat antarabangsa.

"Buat masa ini, kesemua mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana akta itu masih boleh digunakan untuk membendung kegiatan keganasan sehinggalah akta baru digubal pada Mac tahun depan," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mesyuarat pasca Kabinet kementerian itu di Putrajaya, kelmarin.

Menyatakan bahawa beliau sebelum ini sudah dimaklumkan mengenai kegiatan kumpulan itu oleh pihak Indonesia, Hishammuddin mengingatkan tiada mana-mana pihak cuba mempolitikkannya kerana ia menyentuh secara langsung keselamatan dan kedudukan negara.

"Kita tidak gunakan sewenang-wenangnya ISA. Ia akan terhad kepada isu keganasan jadi pengesahan pihak Indonesia itu sedikit sebanyak membantu membuktikan kewajaran tindakan kita," katanya.

Walaupun negara tidak dijadikan sasaran, Hishammuddin berkata beliau tidak mahu melihat Malaysia dijadikan negara transit atau tempat menyimpan senjata mahupun dijadikan tempat latihan untuk merancang aktiviti keganasan di rantau ini.

Tiga belas individu yang ditahan di Tawau, Sabah sejak Isnin lepas itu disyaki terbabit dalam kegiatan subversif, termasuk cubaan menghidupkan kegiatan militan yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan negara dan rakyat.

September lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan ISA dimansuhkan dan memberi jaminan dua undang-undang baru yang akan digubal untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang serta perbuatan jenayah tidak akan digunakan untuk menahan mana-mana individu semata-mata kerana ideologi politik.

Bagaimanapun, dua akta baru bagi menggantikan ISA perlu dikuatkuasakan dahulu sebelum pemansuhan ISA boleh dilakukan. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment