Thursday 10 November 2011

8 RAKYAT MALAYSIA DI PAPUA SELAMAT


LAPAN rakyat Malaysia yang tinggal di bandar pelabuhan Lae di Papua New Guinea (PNG) dilaporkan selamat daripada pertempuran etnik yang tercetus di bandar raya itu baru-baru ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata semua rakyat Malaysia itu sedang bekerja dengan sebuah syarikat di bandar raya kedua terbesar di negara itu.

"Saya telah dimaklumkan apa yang berlaku di Papua New Guinea. Kita telah dimaklumkan bahawa semua rakyat Malaysia selamat," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Luar Hungary, Dr Janos Martonyi, di Wisma Putra kelmarin.

Katanya kesemua warga Malaysia itu dinasihatkan menghubungi pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby serta tidak keluar dari tempat penginapan mereka sekiranya tidak ada keperluan mendesak.

Semalam, agensi berita AFP melaporkan bahawa pertempuran etnik yang ganas di bandar pelabuhan itu telah menyebabkan sehingga sembilan orang terbunuh dan lebih 1,000 orang hilang tempat tinggal.

Kekacauan tersebut telah mengakibatkan banyak rumah dan kedai perniagaan dirosakkan dan dibakar serta banyak gedung perniagaan ditutup di bandar raya itu.

Dilaporkan pertempuran itu tercetus apabila sekumpulan remaja yang mengadakan protes membantah peningkatan kadar jenayah di bandar itu bertempur dengan kumpulan lain.

Anifah berkata Wisma Putra sedang memantau keadaan di Lae dan sekiranya keadaan bertambah buruk maka mereka akan bertindak membawa keluar rakyat Malaysia dari sana.

Katanya beliau dimaklumkan bahawa pertempuran itu tertumpu di kawasan kecil sahaja membabitkan dua kumpulan etnik dan kejadian itu tidak akan merebak ke bandar lain di negara itu.

"Tiada nasihat perjalanan dikeluarkan oleh Wisma Putra kerana pada ketika ini tiada keperluan sebab ia hanya melibatkan kawasan yang kecil sahaja," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment