Saturday 19 November 2011

BAJET RM4 BILION CATAT SEJARAH



KERAJAAN negeri Sabah memperuntukkan RM4.048 bilion bagi Belanjawan Negeri 2012, yang meningkat RM979.62 juta berbanding anggaran perbekalan 2011.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, yang juga Menteri Kewangan Negeri, berkata anggaran perbekalan 2012 merangkumi tiga komponen utama iaitu Emolumen (RM623.66 juta), Perbelanjaan Berulang (RM1.120 bilion) dan Perbelanjaan Khas (RM2.303 bilion).

"Belanjawan 2012 ini merupakan bajet yang terbesar dalam sejarah negeri Sabah, yang membuktikan komitmen kerajaan untuk terus memberikan yang terbaik kepada rakyat dan negeri Sabah.

"Kita juga akan terus memacu pembangunan di negeri ini ke tahap yang lebih tinggi dengan mengambil kira cabaran masa kini, termasuk ekonomi global," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Belanjawan Negeri berkenaan di Dewan Undangan Negeri Sabah, kelmarin.

Musa juga berkata, hasil negeri dianggarkan berjumlah RM3.69 bilion dengan penyumbang terbesar dijangka daripada cukai jualan atas minyak sawit mentah, royalti petroleum, perolehan dan faedah dari pelaburan, tanah dan perhutanan.

Menurutnya, anggaran hasil disemak pada tahun ini dijangka berjumlah RM3.82 bilion iaitu peningkatan RM1.072 bilion atau 39 peratus berbanding anggaran asal sebanyak RM2.747 bilion.

"Kerajaan negeri berkeyakinan bahawa hasil negeri akan mencapai prestasi yang sama pada 2012. Namun demikian, kerajaan negeri haruslah berhemat dengan mengambil pendekatan konservatif dalam penyediaan anggaran hasil memandangkan kebanyakan sumber hasil utama negeri adalah di luar kawalan kerajaan negeri, terutama dalam penentuan harga dan pengeluaran bagi minyak sawit mentah dan petroleum," katanya.

Musa berkata hasil negeri dipecahkan mengikut tiga kategori iaitu hasil cukai yang dijangka menyumbang RM1.165 bilion, hasil bukan cukai (RM2.189 bilion), dan terimaan bukan hasil (RM336.31 juta).

Mengenai peruntukan untuk pembangunan pula, Musa berkata perbelanjaan negeri dianggarkan berjumlah RM881.87 juta, meningkat RM54.47 juta berbanding peruntukan belanjawan untuk pembangunan tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, RM545.91 juta atau 64.08 peratus disalurkan kepada sektor ekonomi, manakala sektor sosial diperuntukkan sebanyak RM256.9 juta atau 30.16 peratus, katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment