Monday 21 November 2011

BANTUAN RM100, TIADA MOTIF POLITIK



PEMBERIAN bantuan tunai RM100 bagi setiap murid menerusi Bajet 2012 tiada motif politik, sebaliknya ia bermatlamat meringankan beban ibu bapa dalam menyedia pembelajaran kepada anak-anak, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said.

Sebab itu, kata beliau, bantuan berkenaan diberi kepada semua murid yang layak tanpa mengira kedudukan dan kepercayaan politik ibu bapa mereka.

"Justeru, kita berharap agar wang bantuan ini digunakan dengan sebaik-baiknya untuk persekolahan dan tujuan pembelajaran bagi meringankan beban," katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Program RM100 1Murid SK Pekan Kota Belud di Dewan Masyarakat Kota Belud, kelmarin.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah, Ahmad Bahkrin Yusof.

Dalam Bajet 2012 yang dibentangkan bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bantuan persekolahan RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Langkah itu bagi meringankan beban perbelanjaan persekolahan dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan RM530 juta.

Sementara bagi daerah Kota Belud saja, seramai 21,000 murid layak menerima bantuan berkenaan dan membabitkan peruntukan RM2.1 juta.

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah dan Ketua Umno Bahagian Kota Belud berkata kehadiran pemimpin politik dari parti pemerintah dalam majlis penyerahan bantuan tersebut bukan bermaksud untuk berpolitik atau kepentingan kepartian.

"Tetapi kehadiran pemimpin politik termasuk kalangan YB adalah untuk menjelaskan matlamat program ini agar tiada salah faham dan skim bantuan ini tidak dimanipulasi oleh pihak tertentu," katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa pemberian bantuan kewangan adalah bukti kesungguhan dan komitmen kerajaan membantu rakyat, terutama dalam bidang pendidikan.

Menurutnya, pemansuhan yuran sekolah mulai tahun depan juga bermakna bahawa pendidikan kini diberikan secara percuma oleh kerajaan kepada seluruh rakyat, justeru alasan ketiadaan kewangan ibu bapa tidak lagi boleh diterima sebagai faktor tidak dapat memberikan pembelajaran kepada anak-anak.

Katanya lagi, seiring dengan tujuan itu, kerajaan juga menerusi Bajet 2012 turut mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM200 kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan RM260 juta.

No comments:

Post a Comment