Wednesday 16 November 2011

BEBERAPA AGENSI DI SABAH DIMANSUHKAN?



BEBERAPA agensi kerajaan negeri Sabah dikhuatiri akan menghadapi kemungkinan dimansuhkan jika DAP mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Hajiji Noor berkata ini berikutan hasrat parti pembangkang itu untuk mengurangkan jumlah penjawat awam sekiranya parti itu memerintah negara ini.

Katanya, ini termasuk institusi di bawah Majlis Hal Ehwal Anak Negeri atas alasan bahawa ia tidak terdapat di negeri lain di negara ini.

"Ini tentunya akan merencatkan lagi pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat di samping memperlekeh penjawat awam yang selama ini merupakan penyumbang terbesar kepada kemajuan negara," katanya.

Hajiji berkata demikian ketika berucap pada majlis penerangan isu-isu semasa dengan Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri di sini pada Selasa.

Oleh itu, beliau menasihati mereka supaya tidak terpengaruh dengan pelbagai janji dan provokasi pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

Katanya kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu untuk membawa apa sahaja perubahan dan pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

Ini termasuk pembinaan enam bangunan Mahkamah Anak Negeri baru yang dijangka memartabatkan lagi sistem kehakiman Mahkamah Anak Negeri di Sabah, katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment