Friday 25 November 2011

BELUM ADA KETETAPAN 30 % RKR


LAYARI…Lajim diiringi oleh Edmond Teo Samin ketika melayari Halaman Sosialnya (FB) ketika melawat gerai pameran sempena karnival tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

KERAJAAN tidak perlu tergesa-gesa mewajibkan pemaju perumahan membina 30 peratus daripada skim perumahan baru sebagai rumah kos rendah (RKR) kerana masih perlu berbincang dengan pihak pemaju untuk menentukan mekanisme yang terbaik bagi semua pihak.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin berkata dasar 30-peratus rumah untuk bumiputera sudah ada di Sabah, bagaimanapun tidak ditetapkan sebagai peraturan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah mewajibkan pemaju perumahan membina 30-peratus daripada skim perumahan baru sebagai rumah kos rendah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata demikian selepas merasmikan Karnival Komunikasi Jalur Lebar Komuniti Satu Malaysia Daerah Kuala Penyu 2011 di SK Kg. Kerukan di Kuala Penyu, kelmarin.

Katanya, kerajaan perlu memberi jaminan kepada pihak pemaju sekiranya rumah kos rendah atau rumah untuk bumiputera tidak dapat dijual kerana tiada pembeli yang layak.

Katanya, pihak pemaju mungkin terpaksa membina rumah kos rendah di kawasan yang berasingan daripada perumahan kos tinggi bagi memenuhi dasar 30-peratus tersebut.

Sementara itu, dalam ucapannya, Lajim yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, berkata penganjuran karnival tersebut merupakan usaha kerajaan bagi merapatkan jurang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) antara penduduk bandar dan luar bandar.

KESELAMATAN…Lajim diiringi oleh Herdiansah, Samin ketika mengageh-agehkan topi keledar kepada para penunggang motosikal sempena majlis tersebut.

Katanya, melalui internet atau jalur lebar masyarakat boleh mengakses maklumat dari dalam dan luar negara selain berhubung dengan pemimpin masyarakat melalui laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Dalam majlis tersebut, Lajim turut menyempurnakan Kempen Keselamatan Jalan Raya dengan Penyerahan 50 Topi Keledar Percuma sumbangan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Sabah kepada penunggang motosikal.

Beliau juga turut menyempurnakan Penyerahan 3 buah Komputer Riba Satu Malaysia sumbangan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) kepada SK Kg. Kerukan, Komuniti Satu Malaysia Kg. Kerukan dan Komuniti Satu Malaysia Kg. Mansud; dan sebuah komputer meja beserta pencetak sumbangan Jabatan Penerangan Sabah kepada SK Kg. Kerukan.

Turut hadir dalam majlis Pengarah JKJR Sabah Herdiansah Bin Abdul Karim; Timbalan Pengarah Penerangan Sabah Yunus Saprin; Pegawai Daerah Kuala Penyu Edmon Teo dan Pengerusi Komuniti Satu Malaysia Kg. Kerukan, Haji Samin Ongki.

No comments:

Post a Comment