Thursday 3 November 2011

BSN HILANGKAN GELARAN PEKAN COWBOY



TERSERGAM….Bangunan BSN tersergam Indah di Telupid.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

PEKAN Telupid yang berusia lebih 20 tahun ini pernah mendapat gelaran sebagai Pekan Cowboy (sebagai bahan ejekan) kerana kekurangan serba serbi terutama prasarana untuk masyarakat Telupid dan sekitarnya berurusan, termasuk perbankan.

Pembukaan Bank Simpanan Nasional (BSN) di pekan tersebut yang baru sahaja beroperasi pada 1 November lalu merupakan satu rahmat kepada warga penduduk Telupid yang kini mempunyai kemudahan perbankan yang dilaungkan sejak 20 tahun lalu dan sekaligus menghilangkan gelaran Pekan Cowboy.

Sebelum ini, masyarakat Tepupid terpaksa pergi ke Bandar Sandakan yang jaraknya hampir 164 kilometer dengan kadar tambang bas RM15 bagi satu perjalanan dan jika menggunakan kenderaan sendiri terpaksa mengisi minyak sejumlah RM50 untuk perjalanan dua hala.

Dalam temubualbual eksklusif Pegawai Cawangan BSN Telupid, Jaffry Samin dengan Sabahkini.Net, Jaffry antara lain menjelaskan pihaknya memang sudah lama ingin membuka cawangan BSN di pekan ini, tetapi BSN terpaksa memikirkan dan mengambil kira beberapa sudut yang harus dipertimbangkan.

Pertama jelas Jaffry, ialah lokasi bank, kedua kos sewa bangunan dan ketiga respon daripada pelanggan.

“Kita faham di pekan ini ramai boleh dikatakan 80 peratus penduduknya dan 60 peratus terdiri daripada masyarakat Dusun terlibat dalam dunia perniagaan sama ada secara besar-besaran mahupun secara kecil-kecilan. Mereka perlu menyimpan dana mereka untuk modal pusingan dan sebagainya,” katanya.

Selain itu kata Jaffry, daerah Telupid juga mempunyai ramai kakitangan kerajaan dan swasta yang memerlukan kemudahan transaksi kewangan mereka, di samping untuk mendapatkan kemudahan pinjaman bank.

“Bagi pihak BSN, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Majlis Daerah Beluran, James Miki kerana atas cadangan dan usahanya untuk menubuhkan cawangan BSN yang pernah digembar gemburkan di media khususnya Sabahkini.Net, kira-kira 10 bulan yang lalu dan pada hari ini segala impian telah menjadi reality. Bank Simpanan Nasional telah wujud di mata masyarakat setempat,” kata Jaffry.

WAWANCARA….Pengurus Cawangan BSN Telupid, Jaffry sedang diwawancara.

ALBUM ...James bergambar dengan pegawai dan kakitangan BSN Telupid.JPG

GILIRAN…. Beginilah keadaan pelanggan BSN yang menunggu giliran berurusan.

Buat permulaan kata Jaffry, BSN mempunyai seorang Pengurus, tiga kakitangan kaunter dan dua orang Polis Bantuan.

Sementara itu, dalam wawancara Sabahkini.Net dengan Ahli Majlis Daerah Beluran, James Miki, beliau bagi pihak warga Telupid mengucapkan jutaan terima kasih kepada Sabahkini.Net yang membantu mengusahakan kewujudan BSN di pekan ini.

James turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak BSN kerana begitu prihatin mewujudkan Bank ini yang sememangnya menjadi harapan dan impian rakyat Telupid sejak sekian lama.

Dalam konteks ini, James meminta kerjasama sepenuhnya daripada pegawai kanan kerajaan Guru-Guru dan juga pihak pengurus ladang dan pekerja-pekerja ladang dan juga para peniaga di daerah Telupid agar menggunakan kemudahan BSN.

“Kini kita tidak perlu lagi pergi ke bandar Sandakan hanya setakat mahu mengeluar wang tunai sejumlah RM50 kerana terpaksa berbelanja lebih, sedangkan BSN berada di hadapan mata,” ujar James Miki yang terlalu gembira kerana usaha gigihnya selama ini berjaya.

No comments:

Post a Comment