Tuesday 8 November 2011

'CHINESE CHAMBERS' DALANGI BAJA HARAM?



Oleh : JAYANTHI GEETA SUKUMARAN

DEWAN Perniagaan Tiong Hua Lahad Datu dikesan melindungi operasi pengangkutan baja haram dari Pelabuhan Lahad Datu ke Gudang Baja di Jalan Tengah Nipah kerana dipercayai telah memecat seorang ahli jawatankuasanya kerana membangkitkan isu ini sehingga ramai pemilik lori baja didenda Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Kira-kira jam 4 petang tadi, Sabahkini.net menerima adaun orang awam berhubung kejadian baja tumpah di atas jalan raya sehingga menyebabkan semua kenderaan yang menggunakan Jalan Pintas Kastam Baru Off Tengah Nipah terkena tumpahan baja daripada lori milik T.S Shipping and Forwarding Sdn.Bhd.

“Kejadian baja tumpah ini bukan baru hari ini berlaku, malah setiap hari tetapi tidak ada sebarang tindakan daripada Jabatan Alam Sekitar, terutama ke atas Gudang Baja Haram di Jalan Tengah Nipah dan Jalan Dam. Hanya polis dan JPJ sekali sekala mengadakan operasi mengejut, tetapi saya Nampak macam boleh runding sahaja,” kata pengadu, Abdul Rahman Halim.

Tegas Abdul Rahman, isu pengangkutan baja tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar atau EIA ini sudah berlanjutan sejak 20 tahun lalu, tetapi memandangkan tidak ada tindakan drastik yang diambil pihak kerajaan, maka rakyat malas memfailkan aduan kerana telah seringkali juga disiarkan di media masa.

“Kita ada buat aduan kepada seorang Ahli Dewan Perniagaan Tiong Hua, tetapi bila dia timbulkan isu ini dalam media dan mesyuarat, beliau dipecat. Jadi kami pun kecewa kerana tiada lagi tempat mengadu sehinggalah rakan saya mencadangkan agar menghubungi Sabahkini.net melalui email. Terima kasih kerana datang segera,” kata Abdul Rahman yang meminta agar gambarnya tidak dirakam kerana bimbang diancam tonto atau menjadi mangsa polis yang melindungi kegiatan haram ini sejak sekian lama.

Menurut Abdul Rahman, tangkapan yang dibuat ala kadar sahaja kerana semua polis di Lahad Datu termasuk, termasuk Ketua Polis Daerah berada di dalam ‘Pay-Roll’ Sindiket Baja ini; terutama dengan meminda kesalahan daripada membawa muatan lebih atau muatan berbahaya kepada gagal menunjukkan lesen atau kesalahan yang boleh dikompaunkan.

(NOTA : Gambar yang anda saksikan di bawah ini adalah gambar sebenar yang dirakam di lokasi oleh Jurugambar Sabahkini.net sebentar tadi. Tidak perlu ada caption kerana satu gambar menerangkan satu ribu perkataan).

Mungkin tidak keterlaluan kata Abdul Rahman, pencemaran yang dilakukan Sindiket Baja ini telah sebati di kalangan anggota polis dan JPJ kerana jalan Kastam Baru hanya bersebelahan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu dan sebarang kegiatan pengangkutan baja, terutama yang merosakkan Jalan Kastam Baru dilakukan oleh syarikat pengangkutan milik Pengerusi Dewan Perniagaan Tiong Lahad Datu dan sekutunya dapat dikesan dengan mudah jika polis mahu bertindak.

Ketika lawatan mengejut ke lokasi kejadian yang berhampiran dengan Bulatan Balai Polis, para pekerja syarikat berkenaan sedang bertungkus lumus memungut kembali baja yang tertumpah di atas jalan raya kerana setiap lori membawa muatan lebih sehingga bertaburan di atas jalan raya.

Dianggarkan lebih lima tan baja tumpah di atas jalan raya sehingga membuatkan para pengguna mengeluh kerana kereta mereka mudah rosak terutama sistem brek yang mudah berkarat dan pecah disebabkan kesan daripada tindak balas baja berkenaan; apatah lagi kereta mereka tidak tahan lama.

“Jika ada pilihan saya tidak akan melalui jalan ini tetapi kerana Jalan Dam-Pancuran terlalu sesak, maka saya terpaksa gunakan jalan Kastam Baru. Tidak sangka pula ada baja tumpah. Barangkali polis dan JPJ belum bangun tidur tadi, jadi mereka belum datang,” kata Jaafar Majid yang sempat berseloroh secara sinis berhubung sikap polis dan JPJ Lahad Datu.

Kata Jaafar, selain Polis dan JPJ, mereka juga telah menulis surat kepada Jabatan Alam Sekitar di Kota Kinabalu atau Tawau. Tetapi apabila mereka sampai, jalan telah dibersihkan dan bukti telah hilang. Tapi yang jadi mangsa ialah kami kerana bukan sahaja jalan bertambah masin, malah cepat rosak,” kata Jaafar lagi yang menggesa agar isu ini diatasi segera.

“Kita bukannya kaya. Kita tidak mampu tukar kereta setiap tahun. Jadi ada baiknya atasilah masalah ini. Jalan POIC ada, jadi gunalah jalan tersebut. Buat apa bikin jalan beratus juta jika tidak digunakan?” kata Jaafar yang jengkel dengan sikap Ketua Polis Daerah yang tidak prihatin dengan aduan masyarakat, sebaliknya lebih berminat mengarahkan kakitangan menyaman atau merampas kancil atas tuduhan palsu mengangkut penumpang secara haram atau ‘Pirate’.

Memandangkan isu ini telah beberapa kali dibangkitkan media dan melalui aduan bertulis, maka Sabahkini.net membatalkan niat untuk mewawancara Ketua Polis Daerah Lahad Datu dan Pegawai JPJ kerana sudah pasti jawapan yang diberikan adalah ‘Madah Berhelah’ yang dikarang untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Jika tidak, kenapa sudah 20 tahun isu ini belum dapat diselesaikan dengan sempurna? Kenapa penjenayah Alam Sekitar seperti Mok Ten Sang boleh dilantik sebagai Pengerusi Dewan Perniagaan Tiong Hua dan Menjadi Ahli Majlis Daerah Lahad Datu sejak 8 tahun lalu? Siapakah dalang sebenar di sebalik sindiket Baja Haram ini?

Di mana Adun Lahad Datu dan Ahli Parlimen Silam ketika rakyat mengadu isu pencemaran alam yang berlaku di hadapan mata yang telanjang?

No comments:

Post a Comment