Thursday, November 24, 2011

DARI IC PALSU KE LORI HANTU!

HANTU.....Sebahagian daripada ratusan Lori Hantu yang bebas beroperasi di Pelabuhan dan Jalanraya Lahad Datu tanpa sebarang penguatkuasaan. Tanya OCPD siapa dapat share?

Oleh : JAYANTHI GEETHA SUKUMARAN

LAHAD DATU yang sejak empat dekad lalu terkenal sebagai Gedung IC Palsu kerana di sinilah lahirnya buku IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah karya penulis kontroversi Mutalib M.D pada 1999; kini terkenal sebagai daerah Lori Hantu dan Kereta Sapu.

Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Kastam dan Eksais Di Raja, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kerjaraya, Pejabat Daerah Lahad Datu, Majlis Daerah Lahad Datu, Ahli Parlimen Silam, Adun Lahad Datu dan sebagainya adalah sebahagian daripada ’Cartel’ yang melindungi kegiatan lori hantu sejak lebih 20 tahun lalu, terutama dalam industri pengangkutan baja dan kelapa sawit.

Kegiatan haram lori hantu boleh dilihat setiap hari kerana tidak ada pihak berkuasa yang memantau pergerakan mereka disebabkan ’Bill Collector’ tidak pernah gagal menjalankan tugas mereka memungut ’Ufti’ dan membahagikan wang perlindungan tersebut secara saksama mengikut ’Cartel’ masing-masing.

Sekalipun kemalangan demi kemalangan berlaku yang diakibatkan atau melibatkan lori hantu, namun pihak berkuasa tidak pernah mengambil berat isu ini kerana ingin menjaga ’periuk nasi’ masing-masing disebabkan kos hidup yang melambung tinggi dan perlumbaan mengumpul harta.

Lori hantu ini ialah lori yang diubahsuai tanpa kelulusan Puspakom dan tidak mempunyai insuran, cukai jalan atau permit kerana tidak mematuhi syarat keselamatan yang ditetapkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan.

Pemerhatian di Puspakom Lahad Datu selama satu bulan 21 Oktober-21 November 2011, tidak ada walau sebuah lori yang terlibat dengan kegiatan pengangkutan baja dan kelapa sawit yang menjalani pemeriksaan atau diluluskan Puspakom.

Persoalannya, siapakah yang begitu berkuasa meluluskan lori hantu yang berbahaya ini berada di atas jalan raya sehingga membahayakan nyawa orang awam dan mencemar alam sekitar kerana menumpahkan muatan baja mereka di atas jalan, terutama milik Teck Guan yang terletak di Batu Dua, Jalan Sandakan, Lahad Datu.

Syarikat pengangkutan baja seperti T.S Forwarding and Shipping, Kerisbina dan sebagainya begitu dilindungi Ketua Polis Daerah, JPJ dan Jabatan Kastam sehingga operasi haram ini telah menjadi kudis di hati masyarakat Lahad Datu yang marah kerana kereta mereka mudah rosak disebabkan jalan raya menjadi masin disebabkan baja tumpah di atas jalan raya setiap hari dan disiram dengan air bagi membersihkan tumpahan baja.

Pemerhatian krew Sabahkini.net di Pelabuhan Lahad Datu mendapati tidak ada satupun lori hantu berkenaan mempunyai permit yang sah dan kesemua lori berkenaan tidak akan menjalankan kerja mereka jika ada ’Road Block’ olok-olok yang dibuat oleh JPJ dan Polis.

Seorang Aktivis Masyarakat dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu yang kebetulan mengadakan lawatan ke Lahad Datu melahirkan rasa kesal kerana rasuah sudah lama membudaya dan berakar umbi di kalangan penguatkuasa undang-undang sehingga masalah penting ini semakin sukar dihapuskan.

”Saya amat terkejut melihat kejadian ’rompakan di siang hari’ dan kebalnya para penjenayah alam sekitar dan pelaku kesalahan jalan raya daripada penguatkuasaan undang-undang,” kata Patrick yang hairan kerana tidak ada satu jambatimbang di antara Kastam Baru dengan Jalan Tengah Nipah atau Jalan Sandakan yang menjadi Gudang Haram pada pengusaha baja komersil ini.

Kata Patrick, beliau harap agar dua agensi pemantauan alam sekitar iaitu Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar mengambil tindakan bersama-sama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Di Raja Malaysia bagi mmebanteras kegiatan haram yang telah lama berjalan.

BEBAS.....Bas mini tanpa permit dan menggunakan permit palsu ini bebas menjalankan operasi di Lahad Datu kerana sudah dirunding.


PENYIBUK....Sekatan jalanraya disifatkan sebagai 'Plaza Tol kerana lebih bermotifkan kewangan daripada penguatkuasaan.


PUNGUT....Pekerja syarikat pengangkutan mengaut baja yang tumpah di atas jalan.

”Jika amalan ini berterusan, indeks Transparansi Malaysia akan jatuh merudum kerana semua penjenayah alam sekitar ini percaya rasuah adalah pemangkin menyelesaikan kesalahan jenayah,” ujar Patrick yang kecewa kerana masyarakat tidak lagi percaya kepada polis, SPRM, JPJ dan pihak berkuasa lain yang hanya membutakan mata mereka demi untuk mengaut keuntungan berganda.

Kerja baru polis, JPJ dan pihak berkuasa kata Patrick ialah memalsukan saman trafik atau mengubahsuai denda bagi melindungi kepentingan mereka agar dapat mendapat bayaran tetap setiap bulan daripada pengusaha 15 syarikat pengangkutan di Lahad Datu yang dianggarkan membayar tidak kurang RM3 juta sebulan sebagai wang perlindungan.

Dalam pada itu, pemerhatian Sabahkini.net mendapati kegiatan Kereta Sapu sudah menjadi profesion pegawai kerajaan selepas waktu kerja dan satu peluang mencipta wang oleh anggota dan pegawai PDRM yang menyewakan kenderaan mereka RM40 sehari kepada warga asing dan rakyat tempatan untuk mengangkut penumpang.

Walaupun kereta sapu terpaksa bersaing dengan bas sapu dan sering menjadi mangsa operasi polis yang memburu mereka untuk mendapatkan wang perlindungan; namun hanya profesion ini yang boleh menjamin masa hadapan mereka disebabkan perkhidmatan awam yang tidak cekap.

Jika PDRM dan JPJ sudah melihat kereta Sapu dan Lori Hantu sebagai peluang mencipta wang, siapa lagi yang boleh diharapkan untuk membanteras kegiatan yang dihalalkan perasuah yang menganggap undang-undang sebagai penghalang kemajuan?

No comments:

Post a Comment