Sunday 6 November 2011

FAHAMI RASIONAL PEMANSUHAN PPSMI



Oleh : DATUK MASIDI MANJUN

RAKYAT digesa memahami asas sebenar keputusan Kerajaan memansuhkan PPSMI dan tidak menilai keputusan tersebut secara emosional. Kerajaan telah memberi ruang dan masa yang cukup untuk menilai perlaksanaan PPSMI di sekolah-sekolah dan mendapati banyak membawa kerugian dan masalah kepada pelajar-pelajar sekolah di luarbandar yang tidak mempunyai kemudahan pembelajaran Bahasa Inggeris, dibandingkan dengan kebanyakan sekolah-sekolah di dalam bandar.

Mengikut kajian, ada sekolah-sekolah luar bandar yang mencatatkan kegagalan sehingga 80 peratus murid dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains lantaran ketidakupayaan mereka menguasai Bahasa Inggeris.

Sekolah-sekolah luar bandar bukan sahaja amat kekurangan guru yang boleh mengajar mata pelajaran tersebut dalam Bahasa Inggeris, tetapi guru-guru opsyen lain yang dilatih mengajar dalam Bahasa Inggeris gagal mencapai standard yang diperlukan untuk mengajar Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains secara berkesan.

Dengan keadaan yang ada sekarang, PPSMI akan menjadi satu beban dan penghalang kepada kebanyakan pelajar luar bandar mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan awam sehingga akan meluaskan lagi jurang perbezaan pencapaian akademik di antara pelajar luarbandar dan mereka yang belajar di sekolah dalam bandar.

Memang tidak dapat dinafikan kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa dan kita mahu rakyat Malaysia menguasai bahasa tersebut. Tetapi, menguasai Bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan dan mempelajari ilmu pengetahuan adalah dua perkara yang berbeza.

Cina, Jepun, Korea, Jerman, Perancis, Russia dan banyak lagi negara lain mengungguli kecemerlangan dalam bidang sains dan teknologi, walaupun mata pelajaran sains dan matematik diajar sepenuhnya dalam bahasa ibunda mereka di semua peringkat sekolah hingga ke universiti.

Negara Cuba mengungguli sains perubatan berasaskan bioteknologi tidak pernah melalui proses pembelajaran Bahasa Inggeris dalam sistem persekolahan negara tersebut. Memang betul ramai rakyat di Negara-negara ini fasih berbahasa Inggeris tetapi ia lebih bertujuan untuk memudahkan mereka berinteraksi dengan masyarakat antarabangsa kerana Bahasa Inggeris sudah diterima sebagai 'lingua franca' dunia.

Hujah yang mendakwa bahawa ilmu sains dan teknologi hanya boleh diungguli melalui pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris menidakkan sejarah keilmuan itu sendiri.

Sejarah membuktikan kemajuan sains dan teknologi banyak dipelopori oleh bangsa dan negara yang bahasa ibunda mereka bukan bahasa Inggeris. Cina mempunyai sejarah ilmu beratus malah beribu tahun; begitu juga Mesir, Jerman dan bangsa Arab di Cordoba, Sepanyol.

Zaman kebangkitan ilmu di Eropah yang dipanggil 'The Renaissance' tidak pun bermula atau tercetus di kalangan orang Inggeris di England. Memang betul orang Inggeris mengungguli persuratan seperti sastera Inggeris, teater dan cabang seni lain, tetapi hakikatnya kebangkitan sains dan teknologi banyak berlaku di negara Eropah yang bukan berbahasa Inggeris.

Malah di Amerika Syarikat sendiri pun mendapat banyak manfaat daripada kebanjiran saintis Eropah yang berhijrah ke Amerika selepas perang dunia pertama dan Kedua yang akhirnya membantu negara tersebut mengungguli sains dan teknologi.

Sebagai kesimpulan, semua ilmu termasuk sains dan teknologi boleh dipelajari dalam pelbagai bahasa. Malah ilmu lebih mudah dipelajari dalam bahasa yang mudah kita fahami, kebiasaannya dalam bahasa ibunda kita.

Penguasaan Bahasa Inggeris boleh diperbaiki melalui pembelajaran bahasa tersebut yang memberi penekanan kepada penggunaan betul Bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan.

Semua ini boleh dilaksanakan melalui penambahan masa mempelajari Bahasa Inggeris termasuk memperkenalkan mata pelajaran Sastera Inggeris (English Literature). Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris tidak menjamin pelajar akan dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan baik kerana mata pelajaran sains dan matematik lebih kepada penguasaan ilmu dan prinsip teknikal.

Soal pelajar kita sukar membuat rujukan kerana kebanyakan buku rujukan ditulis dalam Bahasa Inggeris juga tidak timbul sekiranya mereka menguasai Bahasa Inggeris melalui kaedah pembelajaran yang lebih baik.

Kerajaan telah menilai dengan teliti semua pro dan kontra isu ini sebelum mengambil keputusan memansuhkan PPSMI. Rakyat harus memikirkan kebaikan jangka panjang anak-anak kita khususnya mereka yang tinggal di luar bandar sebelum menghakim Kerajaan di atas keputusan ini. Kerajaan telah membuat satu keputusan yang sukar tetapi tepat.

(NOTA : Datuk Masidi Manjun merupakan Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Exco Pelajaran Negeri Sabah).

No comments:

Post a Comment