Monday 21 November 2011

FELDA TIPU MASYARAKAT TIONG HUA?



Oleh : MUTALIB M.D

TINDAKAN tergopoh-gopoh FELDA membina 10 buah rumah PPRT di tapak seluas 15 ekar yang dirampas daripada Masyarakat Tiong Hua di Kampung Sabah Baru, tujuh kilometer dari pekan yang pernah diserang lanun pada 1989, Lahad Datu; telah menyebabkan Kerajaan Barisan Nasional berada di dalam dilema hakisan pengaruh.

Mantan Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Silam, Chong Su Vun ketika memberitahu Sabahkini.net kelmarin menegaskan bahawa masyarakat Tiong Hua amat terkilan dengan tindakan FELDA yang melanggar Fasal 13 Perlembagaan Persekutuan dan Hak Asasi Manusia.

“Kita bukan menentang kerajaan tetapi kita mematuhi kehendak perlembagaan yang memberi jaminan kepada rakyat Malaysia berhubung hak terhadap harta,” kata Chong bahawa Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut udang-undang dan tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi.

Sehubungan itu kata Chong, beliau yang mewakili 201 orang pemohon lot tanah yang telah menebus guna tanah yang dijanjikan Kerajaan Barisan Nasional di Kampung Sabah Baru menuntut pertanggung jawaban FELDA terhadap percerobohan yang dilakukan sehingga mereka kehilangan hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Kata Chong, 202 warga Tiong Hua, termasuk beliau telah mendapat kelulusan lot tanah berkeluasan 40 X 60 kaki setiap lot di kawasan penempatan semula setinggan di Kampung Sabah Baru, yang pada mulanya adalah paya bakau dan bekas tempat pelupusan sampah.

“Tanah tersebut telah diletak hak kepada Majlis Daerah Lahad Datu untuk program penempatan semula setinggan. Tetapi memandangkan karenah birokrasi, masyarakat Tiong Hua tidak berpeluang menikmati skim penempatan semula setinggan,” kata Chong yang kesal kerana Wakil Rakyat memandang remeh tuntutan kaum Tiong Hua ketika itu, terutama ke atas lot yang telah mereka usahakan dan timbus.

Sebagai jalan penyelesaian, Pegawai Daerah Lahad Datu, ketika itu Ahmad Shamsuri telah mengarahkan agar kesemua pemohon membuat permohonan tanah (PT) untuk diberi hak milik Country Lease (CL) secara berkelompok melalui dua kumpulan dengan diketuai masing-masing oleh Chong Su Vun dan Chee Yew Wan.

Tegas Chong, pihaknya bukan sahaja berhadapan dengan pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan rakyat tempatan akibat Operasi Nyah II Bersepadu; yang dilancarkan kerajaan untuk mengepam keluar PATI dari Sabah dan meroboh koloni setinggan yang dihuni PATI; malangnya rumah penduduk tempatan juga menjadi mangsa.

KECEWA....Walaupun Chee Yew Wan sudah meninggal dunia, namun waris beliau tidak berputih mata jika FELDA memenuhi rayuan pemilik lot tanah yang dirampas FELDA.

Tanah yang kami timbus dikeroyok oleh para setinggan ini dan mereka telah mendirikan rumah sesuka hati. Tapi paling malang apabila Wakil Rakyat dan Pegawai Daerah telah mencadangkan kawasan yang telah kami usahakan dijadikan tapak Projek Pembinaan Rumah PPRT melalui dana FELDA,” kata Chong yang kelihatan sayu dan bertafakkur sebentar kerana mengenangkan seorang lagi Ketua Pemohon, Chee Yew Wan yang kecewa kerana gagal menebus kembali tanah yang dirampas FELDA sehingga meninggal dunia kerana sakit tua, dua tahun lalu.

Menurut Chong, pihaknya menyambut baik sumbangan FELDA sejumlah RM50 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah, RM25 juta daripadanya untuk Projek Perumahan PPRT, tetapi kesal kerana FELDA memangsakan lot-lot tanah Kaum Tiong Hua untuk membina 350 buah rumah.

“Akibat bantahan dan desakan berterusan kami, FELDA telah membatalkan projek berkenaan setelah membina 10 buah rumah PPRT di atas lot tanah kaum Tiong Hua dan memindahkan projek tersebut ke Kampung Nala tanpa sebarang pampasan walau lima sen kepada kami,” kata Chong yang kecewa kerana FELDA enggan bertanggung jawab di atas kerosakan yang mereka lakukan, terutama rumah PPRT yang telah dibina di atas tanah milik kaum Tiong Hua.

Chong menarik perhatian, daripada 150 lot rumah PPRT yang telah siap dibina di Kampung Nala, tidak sebuahpun diperuntukan kepada kaum Tiong Hua yang menjadi mangsa penindasan FELDA.

“Perkara ini sudah kita ajukan kepada Perdana Menteri, Ketua Menteri, Wakil Rakyat; malah Pengerusi FELDA sendiri, namun semuanya berdiam diri tanpa memberikan sebarang cadangan balas atau keputusan di atas kerosakan yang telah dilakukan FELDA di atas lot-lot tanah yang telah kami timbus,” kata Chong yang menyatakan bahawa pelancaran Projek Perumahan PPRT FELDA di Sabah Baru dilakukan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri yang bertanggung jawab ke atas FELDA.

Chong menarik perhatian, sewajarnya FELDA membayar pampasan kepada masyarakat Tiong Hua yang menjadi masa kerana menurut Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad baru-baru ini bahawa FELDA telah melancarkan Projek Perumahan Rakyat Termiskin bernilai RM20 juta dengan membina sebanyak 150 unit rumah di Kampung Nala, Tungku, Lahad Datu sebagai obligasi sosial Korporat FELDA yang akan memulangkan semula sebanyak 30 peratus keuntungan kepada rakyat dalam usaha membantu Kerajaan Sabah membasmi kemiskinan.

“Masih ada lagi baki RM5 juta daripada peruntukan asal dan tuntutan pampasan kami hanya lebih kurang RM1 juta,” kata Chong yang berpendapat FELDA tidak perlu mendapatkan dana tambahan untuk menyelesaikan masalah mereka kerana baki peruntukan tersedia.

Kata Chong, beliau tidak bimbang dengan kerugian yang dialami masyarakat Tiong Hua, tetapi sebagai Timbalan Pengerusi Parti Liberal Demokratik (LDP), beliau bimbang BN kehilangan lebih 6,249 undi masyarakat Cina yang menjadi penentu pada setiap pilihanraya umum di Parlimen Silam.

Isu tuntutan pampasan masyarakat Tiong Hua ini sudah memuncak dan akan meledak pada pilihanraya umum akan datang kerana sudah pasti dijadikan modal pembangkang; namun Chong berharap isu ini tidak menjadi kayu api untuk membakar peluang BN mempertahankan tiga kerusi DUN dan satu kerusi parlimen di Silam.

Sehubungan itu, Chong berharap agar Ketua Menteri Sabah dan Perdana Menteri Malaysia, termasuk Pengerusi FELDA memandang berat isu ini dan memastikan isu ini diselesaikan secara ‘menang-menang’ sebelum pilihanraya umum akan datang.

“Sokongan masyarakat Tiong Hua sukar diduga kerana sentimen mereka agak kuat dan kita tidak mahu kehilangan sokongan mereka kerana undi mereka adalah ‘King Maker’ selama ini,” jelas Chong yang memaklumkan telah mengemukakan surat tuntutan dan rayuan pampasan kepada semua pihak terlibat.

Sehubungan itu, Chong yakin bahawa Kerajaan Malaysia di bawah era Bapa Transformasi, Najib Tun Razak dapat melakukan Transformasi Ekonomi secara ‘Glokal’ melalui pembayaran pampasan RM1 juta kepada pemilik lot tanah dan waris mereka bagi mengekalkan Fixed-Deposit masyarakat Tiong Hua kepada Kerajaan BN.

Chong turut memaklumkan bahawa pihaknya dengan SabahkiniTV akan menerbitkan sebuah Videoklip yang bertajuk ‘Felda Langsi, BN Rugi’ dalam masa terdekat bagi menyokong tuntutan pampasan mereka kerana membayangkan tindakan mahkamah adalah jalan terakhir untuk mendapatkan hak mereka.

“Tetapi kita percaya isu ini boleh diselesaikan melalui saluran politik dan kita yakin Perdana Menteri akan membantu kita. Jika semuanya melalui jalan buntu, maka kita tidak ada pilihan melainkan membawa kes ini ke mahkamah,” ujar Chong lebih suka jika isu ini diselesaikan melalui Semangat Barisan Nasional.

Kata Chong lagi, FELDA kini menakluki 20% pasaran kelapa sawit di dunia dan secara puratanya, pendapatan FELDA mencecah RM15 bilion setahun dan memperolehi keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.3 bilion setiap tahun, bukanlah masalah besar untuk menyelesaikan tuntutan pampasan sekecil RM1 juta.

Menurut Chong, jika tidak ada penyelesaian melalui jalan perundingan, pihaknya terpaksa memohon perintah mahkamah untuk mendapatkan semula lot-lot tanah berkenaan dengan menghalau keluar 10 keluarga termiskin yang telah diberi 10 buah rumah PPRT di kawasan tersebut iaitu Fartimah Binti Kaning, Kalong Bin Malari, Sharif Dawila Bin Sharif Dawili, Zaiton Bte Bandahala, Lim Kim Fong, Laurel Baluan, Haji Utoh Saleh Nahul, Ining Binti Bantala, Nasir Bin Ganna dan Isa Binti Laudin.

“Tetapi kita berharap perkara ini tidak berlaku,” kata Chong yang mengharapkan agar kerajaan negeri Sabah turut membantu menyelesaikan masalah ini melalui kaedah Land Swap atau kaedah lain yang difikirkan sesuai.

No comments:

Post a Comment