Friday 11 November 2011

FIESTA SANDAKAN PEMBUKA TIRAI PELANCONGAN



SALAM....Liew sedang bersalaman dengan seorang pelancong di Lapangan Terbang Sandakan.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

PERMULAAN Sambutan Fiesta Sandakan 2011 di Lapangan Terbang adalah satu langkah yang tepat sebagai pembuka tirai ‘Selamat Datang Ke Daerah Sandakan’; merupakan simbolik mengalu-alukan orang luar melawat ke Sandakan yang kaya dengan daya tarikan pelancongan yang berteraskan hutan semula jadi.

Peningkatan pergerakan pesawat dan penumpang dengan mengambil kira daya tarikan sedia ada dan pembangunan yang berterusan memberi impak kepada jumlah populasi di daerah ini.

Pergerakan pesawat pada tahun 2011 dijangka akan meningkat sebanyak 4% peratus berbanding tahun 2010, manakala penumpang mencatatkan peningkatan sebanyak 6% peratus berbanding pada tahun berikutnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Festival Sandakan 2011 di Lapangan Terbang Sandakan, pagi kelmarin.

Liew yang juga Ahli Parlimen Sandakan menjelaskan, berasaskan peningkatan jumlah pergerakan pesawat dan juga penumpang yang kian meningkat dari tahun ke tahun, memang wajarlah lapangan terbang Sandakan ini dinaik taraf untuk menjadikan ia lebih kompetatif dengan lapangan terbang yang sedia ada di negara ini.

“Saya difahamkan sambutan di Lapangan Terbang ini diadakan selama dua hari bermula hari ini 9 November hingga 10 November 2011, berbagai-bagai acara selingan turut diadakan, “ kata V.K.Liew yang turut mempelawa penyertaan orang ramai.

RASMI...Liew sedang memalu Gong sebagai simbolik tanda perasmian tersebut sambil disaksikan James Wong.

RONGGENG...Tarian Ronggeng Jawa turut dipersembahkan di majlis tersebut sebagai tarikan pelancong.

Dalam kontes ini, kata V.K.Liew, kita harus menggunakan Lapangan Terbang ini bukan sahaja sebagai tempat ketibaan dan pelepasan; bahkan turut memakmurkannya dengan terus mengunjungi kedai-kedai yang turut menawarkan produk yang bersesuaian dengan cita rasa masing-masing.

V.K.Liew turut merayu operator serta agensi yang berkhidmat di Lapangan Terbang agar terus menyediakan perkhidmatan yang baik, bersopan santun dan berkualiti demi menjaga tata susila serta imej negara di mata luar.

“Dalam kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada pihak jawatankuasa induk dan jawatankuasa kecil sambutan atas usaha murni dan kejayaan menganjurkan majlis seumpama ini dan saya mendoakan agar majlis ini berjalan dengan lancar dan terus mendapat sambutan dari orang ramai demi kemakmuran daerah Sandakan yang kita sayangi ini,” ujarnya lagi.

Sebagai pengisian majlis sambutan tersebut yang bermula dari jam 9.00 pagi hingga jam 4 Petang telah diserikan dengan pelbagai persembahan tarian kebudayaan etnik dan persembahan nyanyian serta pameran produk-produk tempatan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Datuk Ir James Wong; Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Mohamed Fazil Mohd Ali; pegawai kanan kerajaan Negeri dan Persekutuan, termasuk ahli-ahli korporat.

No comments:

Post a Comment