Tuesday 8 November 2011

FUTSAL 1BELIA, 1MALAYSIA SEMAKIN MANTAP



Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIES S JUMADI

TIMBALAN Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata Kejohanan Futsal 1 Belia 1 Malaysia Parlimen adalah program aktiviti tahunan bagi belia di seluruh Malaysia.

Katanya, tujuan kejohanan tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Belia dan Sukan ialah untuk memupuk minat dan menarik penyertaan di peringkat akar umbi ke arah memasyarakatkan sukan dan seterusnya dapat merealisasikan konsep ‘1Belia 1Malaysia’ yang bertujuan untuk memperkembangkan industri sukan di seluruh tanah air.

V.K.Liew berkata demikian sewaktu berucap di majlis pembukaan Kejohanan Futsal 1 Belia 1 Malaysia anjuran Kelab Futsal Parlimen Sandakan yang dilangsung di Gelanggang Futsal Taman Damai, KM 7.8 Jalan Utara Sandakan, pagi kelmarin.

Pada tahun 2010, tambah V.K.Liew, Bahagian Pembangunan Sukan telah berjaya melaksanakan sebanyak 222 program kejohanan futsal di peringkat parlimen.

“Secara keseluruhannya, pelaksanaan Kejohanan Futsal 1 Belia 1 Malaysia Parlimen 2010 telah mencapai kejayaan yang cemerlang kerana kesemua Parlimen pada tahun berkenaan berjaya melaksanakan kejohanan tersebut yang melibatkan seramai 44,000 orang peserta yang merangkumi 4,440 pasukan telah mengambil bahagian bagi menyertai kejohanan itu,” jelas V.K Liew.

Kejohanan tersebut, kata V.K.Liew mempunyai beberapa objektif, antaranya ialah untuk meningkatkan pendayaupayaan komuniti persekitaran, meningkatkan kepakaran dan kesukarelawan tempatan, melatih masyarakat tempatan dalam melaksanakan sukan di peringkat komuniti.

Selain itu ia juga bertujuan untuk meningkatkan kemeriahan dan keberkesanan pelaksanaan program dan memasyarakatkan sukan di tanah air.

V.K.Liew selanjutnya berkata pertandingan akhir peringkat kebangsaan akan diadakan di Putrajaya dan setiap pasukan futsal yang dinobatkan juara futsal di kawasan parlimen mereka akan mewakili parlimen masing-masing untuk dikejohanan peringkat akhir di sana nanti.

“Untuk meningkatkan mutu sukan futsal di negeri ini, khususnya di daerah Sandakan sebagai pendekatan kerajaan mengambil inisiatif dan membina gelanggang-gelanggang Futsal di kawasan parlimen masing-masing. Saya harap belia-belia dapat manfaatkan gelanggang-gelanggang tersebut dan menjaganya seperti harta benda sendiri,” tegas V.K.Liew lagi.

Kejohanan yang bermula pada jam 7.30 pagi dan berakhir jam 4.00 petang telah disertai sebanyak 17 pasukan yang datangnya dari pelbagai tempat 12 pasukan lelaki dan termasuk 5 pasukan wanita turut menyertai kejohonan tersebut.

Majlis penutupan kejohanan tersebut disempurnakan oleh Wakil Rakyat Elopura, Au Kam Wah pada jam 4.45 petang kelmarin.

No comments:

Post a Comment