Tuesday 15 November 2011

JALAN PUTUS, SIASAT SYARIKAT KONSESI



Saudara Pengarang,

PERJALANAN saya ke Sandakan tergendala kerana terpaksa menunggu selama lebih dua jam apabila berlaku tanah runtuh di Kilometer 43, Jalan Sandakan, berdekatan Gum Gum sehingga menyebabkan kesesakan sepanjang lima kilometer sejak dua hari lalu.

Sewajarnya Jabatan Kerjaraya dan syarikat konsesi yang dilantik memantau keselamatan jalan yang semakin rosak setiap hari kerana banyak peruntukan telah dibazirkan melakukan kerja-kerja penurapan dan pembaikan bahu jalan, tetapi membiarkan permukaan jalan dan runtuhan cerun terbiar begitu sahaja.

Mengikut pemerhatian saya, tanah runtuh ini berlaku akibat kerosakan cerun dibiar begitu lama sehingga mengancam keselamatan pengguna kerana boleh runtuh pada bila-bila masa.

Terdapat tidak kurang 20 kawasan runtuhan cerun berlaku dan tidak hairan jika akan berlaku lagi runtuhan dalam masa terdekat, terutama di musim hujan sekarang ini.

Jika jalan ini terputus untuk jangka masa lama, maka tidak ada lagi jalan alternatif yang boleh digunakan bagi menghubungkan Sandakan dengan dunia luar.

Tiba masanya Kerajaan Negeri Sabah mengkaji semua kontrak konsesi penyelenggaran jalan di seluruh Sabah kerana kebanyakan syarikat tidak mengelengara jalan dengan sempurna, sebaliknya membuat tuntutan di atas kerja yang mereka lakukan ala kadar.

Dalam hal ini SPRM dan Jabatan Audit Negara sewajarnya mengurangkan masa tidur mereka kerana berlaku ketidak wajaran penyelenggaraan jalan di Sabah terutama Jalan Pihak Berkuasa Tempatan yang begitu mundur sedangkan ratusan juta telah dibayar kepada syarikat konsesi.

Salam Hormat,

CITRA MASADI

No comments:

Post a Comment