Saturday 12 November 2011

JANGAN TAKUT KEMUKAKAN PERMOHONAN



RASMI...Azizah memukul gong ketika menyempurnakan gimik perasmian Sukan Tahunan SK Klias 2011 sambil di saksikan Rashid (dua kiri) dan Saadiah (dua kanan).

Oleh : ABDUL BAKAR ESAH

PEGAWAI Pelajaran Daerah disaran turun padang bagi memastikan kerajaan dapat menyalurkan kemudahan yang diperlukan dalam sesebuah sekolah khususnya sekolah yang terpencil.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun berkata kerajaan telah menyediakan peruntukan yang banyak dalam bidang pendidikan termasuk untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan sekolah di negara ini.

Justeru itu, katanya pegawai pelajaran di peringkat daerah perlu mengenal pasti sebarang kekurangan dan keperluan sesebuah sekolah dan seterusnya bertindak mengemukan permohonan.

“Kerajaan sudah menyediakan peruntukan untuk kemudahan pendidikan. Jangan takut kemukakan permohonan. Kalau pegawai berdiam diri, peruntukan tidak dapat disalurkan dan sudah tentu rakyat akan marah kalau mereka tidak mendapat manfaatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sukan Tahunan ke-18 Sekolah Kebangsaan (SK) Klias Kecil 2011 di sini baru-baru ini.

TERIMA KASIH....Saadiah menyampaikan cenderamata kepada Azizah sambil disaksikan Rashid.

LINTAS HORMAT....Kontinjen yang menyertai Sukan Tahunan SK Klias 2011 melakukan lintas hormat kepada Azizah (kiri).

Hadir sama wakil Pegawai Pelajaran Daerah, Rashid Ramli, Ketua Kampung Kg Klias Kecil, Ibrahim Saruji dan Guru Besar SK Klias Kecil, Saadiah Zakaria.

Azizah yang juga Adun Klias turut berharap agar pihak sekolah juga perlu memaklumkan sebarang keperluan sekolah ke pejabat pelajaran daerah.

“Sebagai wakil rakyat di sini saya amat berharap pihak sekolah juga perlu bekerja sama dengan pejabat pelajaran daerah demi kebaikan pendidikan di daerah Beaufort ini. Maklumkan apa-apa keperluan ke pejabat pelajaran daerah,” katanya.

Pada kejohanan di sekolah yang mempunyai 114 murid itu sebanyak tiga kontinjen yang mengambil bahagian melakukan lintas hormat kepada Azizah di awal majlis.

Azizah turut diperkenalkan kepada kontinjen yang mengambil bahagian selepas menyempurnakan gimik perasmian.

No comments:

Post a Comment