Saturday 19 November 2011

JANJI PM BUKAN JANJI ‘TERANG BULAN’



Oleh: MOHD ZAKI EMPIN (MOZE)

KESUNGGUHAN kerajaan menunaikan janjinya kepada rakyat berhubung pemberian bantuan khas sebanyak RM100 setiap pelajar sepertimana yang diumumkan PM Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2012 baru-baru ini disifatkan Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) Datuk Raime Unggi sebagai tepat, sebaliknya ia bukan sekadar ‘Janji Terang Bulan’.

Katanya, beliau melihat langkah seperti itu selari dengan matlamat dan aspirasi kerajaan yang bersungguh sungguh membantu meringankan beban para ibubapa dalam menanggung perbelanjaan persekolahan anak anak mereka.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan bantuan itu kepada seramai 120 orang pelajar daripada 18 buah sekolah rendah dan satu sekolah menengah di Dewan Chung Hwa, Tenom, kelmarin, yang turut dihadiri Pegawai Pelajaran Daerah; Ajmal Haji Jumah, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Matussin Balang; Pengetua SMK Entabuan Sunthararajoo Rengasamy dan para pemimpin masyarakat tempatan.

Raime menegaskan bahawa pihak kerajaan telah membelanjakan sebanyak kira-kira RM1.1 juta khusus untuk membayar bantuan khas awal persekolahan bagi tahun 2012 untuk pelajar pelajar di kawasan di sini tanpa mengira statusnya termasuk kesukuan dan agama.

“Kerajaan memang berlaku adil dan benar-benar komited dalam membantu rakyat, bukan sekadar bantuan sebegini sahaja malah hampir 20 jenis bantuan diberi oleh kerajaan termasuk KWAPM khusus untuk membantu pelajar miskin,” tegasnya.

Dalam pada itu, Raime turut memaklumkan bahawa bermula tahun hadapan (2012) kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah meluluskan pelaksanaan untuk membaik pulih infrastruktur dan bangunan sekolah yang selama ini mengalami serba kedaifan.

“Kita memahami rungutan warga pendidik malah para ibubapa dalam mengharungi masalah ini (kedaifan) tetapi kita bersyukur kerana kerajaan akhirnya memberi perhatian serius permintaan kita yang kita suarakan berulang kali kepada kerajaan,” tegas Raime.

Terdahulu, Pegawai Pendidikan Daerah, Ajmal Haji Jumah menegaskan bahawa pihaknya tidak dapat mengelakkan arahan pekeliling yang diterimanya yang mengkehendaki agar pembayaran khas itu harus dilaksanakan dalam masa 14 hari.

Justeru, dalam mempastikan kelancaran pelaksanaan pembayaran itu berjalan dengan teratur beliau meminta para ibubapa mengiringi anak anak mereka untuk menerima pembayaran itu supaya ianya tidak tercicir mahupun jumlahnya berkurangan.

“Kita mahu para ibubapa melihat sendiri jumlah yang dibayar betul-betul genap RM100, tidak ada potongan atau lain lain bayaran walau sesen pun,” tegas Ajmal.

Selain itu, Ajmal turut merakamkan berbanyak banyak terima kasih kepada pihak Polis kerana memberi kerjasama kepada para pegawainya menjaga keselamatan mereka ketika membawa keluar wang yang banyak daripada Bank untuk tujuan itu.

No comments:

Post a Comment