Wednesday 9 November 2011

KASIHI IBU BAPA SEHINGGA KE HUJUNG NYAWA



PENGHORMATAN ....Sepasang suami isteri warga tua berikan penghormatan memotong kek sambil diperhatikan oleh V.K Liew.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : HERRY HUNG

LEBIH 600 warga Tua daripada masyarakat Cina diraikan di majlis Makan Malam anjuran The United Chinese Association Sandakan yang dilangsungkan di Dewan Serbaguna SM Yu Yuan, Sandakan, malam tadi.

Menurut jurucakap jawatankuasa penganjur program tersebut, Chang, tujuan program diadakan adalah sebagai mengenang jasa-jasa orang tua, khususnya warga tua yang banyak menyumbang bakti semasa muda mereka kepada negara dan masyarakat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Ahli Parlimen Sandakan Datuk V.K Liew dalam ucapannya di majlis tersebut antara lain berkata, sebagai anak kita tidak boleh lupa jasa atau menderhaka kepada ibu dan bapa kita semasa mereka masih hidup kerana tanpa mereka, kita tidak lahir ke dunia yang penuh panca roba ini.

“Jasa dan peranan kedua ibubapa kita yang memelihara sejak dari kecil lagi kerana kita dididik dengan sempurna, menerusi pembelajaran sehingga dewasa. Ada yang berjaya menjadi doktor, ada yang jadi peguam dan pelbagai jawatan tinggi sehingga menjadi orang terhormat, maka jasa-jasa mereka harus dihargai. Sebagai warga prihatin, jangan sesekali menyingkirkan mereka ,” tegas V.K.Liew.

Memang tidak dinafikan, tambah V.K.Liew, terdapat segelintir masyarakat Cina yang suka menghantar ibubapa mereka ke rumah-rumah kebajikan orang tua kerana mereka merasa bosan memelihara ibu dan bapa mereka yang sudah tua, kerana orang tua yang sudah lanjut usia, mencecah 80 tahun memang banyak karenah.

“Tetapi sebagai anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang sehingga kaya raya; sepatutnya perkara ini tidak akan berlaku. Jesteru itu, tanamlah sifat-sifat kasih sayang selagi mereka masih berada di dunia” ujar V.K.Liew lagi.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional yang didukung oleh semua lapisan masyarakat di negara ini, khususnya di Sabah telah mengambil peranan dan inisiatif khusus untuk warga tua, sama ada tersisih daripada keluarga ataupun sebaliknya; mereka diberikan bantuan wang ehsan daripada kerajaan menerusi agensinya iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.

MERIAH…….Suasana semakin meriah ketika V.K.Liew berucap di majlis berkenaan.

Manakala bagi warga emas yang terpinggir oleh keluarga mereka dan tidak mempunyai anak, kata V.K.Liew, akan diberi kemudahan untuk tinggal di rumah orang tua iaitu di Seri Harapan, Batu 5, Jalan Sibuga Sandakan dengan diberikan wang saku bulanan dan makan minum mereka dijaga dengan begitu teratur.

Sehubungan itu, V.K.Liew menyeru masyarakat Cina supaya menyokong dasar-dasar kerajan Barisan Nasional yang memerintah negeri Sabah agar dapat menyalurkan pelbagai projek, khususnya di kawasan bandar.

“Masyarakat Cina juga sebahagian warganegara Malaysia harus menanamkan semangat toleransi dan berkompromi dengan kaum-kaum lain di negara ini, khususnya di Sabah demi menjamin perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat jelata di negeri ini,” katanya lagi.

Para tetamu yang hadir pada majlis tersebut mereka tidak merasa bosan dan jemu sambil mengecapi hidangan yang lazat-lazat mereka telah dihiburkan persembahan nyanyian oleh penyanyi tempatan.

No comments:

Post a Comment