Wednesday 30 November 2011

KEKALKAN 34 % KERUSI PARLIMEN SABAH, SARAWAK

PERTUBUHAN Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan 34 peratus kerusi Parlimen sentiasa diperuntukkan bagi Sabah dan Sarawak dalam eksesais persempadanan semula akan datang.

Setiausaha Agungnya Datuk Wilfred Madius Tangau berkata parti itu mahu SPR mematuhi dasar dan semangat dalam perjanjian Malaysia.

Katanya tuntutan itu adalah wajar kerana ia telah disebut dengan jelas dalam perjanjian itu bahawa SPR bukan sahaja perlu mengambil kira bilangan penduduk atau pengundi tetapi juga saiz sesebuah kawasan Parlimen dalam proses persempadanan semula itu.

"Sebagai contoh, kawasan Parlimen Tuaran lebih besar daripada Perlis dan begitu juga kawasan Parlimen Kinabatangan lebih besar dari negeri Pahang.

"Sebab itu, kami mahu Suruhanjaya Pilihan Raya membetulkan keadaan dalam eksesais persempadanan semula pada masa ini untuk kebaikan orang ramai dan negeri dan kami mengemukakan cadangan kami kepada Jawatankuasa Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC), dalam satu pendengaran awam di sini, Jumaat lepas," katanya kepada pemberita di sini.

Madius berkata satu analisis teliti mengenai saiz geografi tiga wilayah menunjukkan bahawa Semenanjung Malaysia dengan saiz tanah 131,598 km persegi diperuntukkan 166 kerusi berbanding dengan Sabah dan Sarawak, dengan 198,081 km persegi, diperuntukkan dengan hanya 56 kerusi.

Sehubungan itu, beliau berkata Upko mencadangkan supaya Sabah diberikan tambahan 10 kerusi Parlimen menjadikannya 35 kerusi dan tambahan 21 kerusi Parlimen bagi Sarawak (sebagai tambahan kepada 31 kerusi pada masa ini), menjadikannya 87 kerusi bagi Sabah dan Sarawak.

"Dengan 87 kerusi (Sabah and Sarawak) berbanding 166 kerusi bagi Semenanjung, Anggota Parlimen dari Semenanjung sudah tidak mungkin lagi boleh meminda Perlembagaan Persekutuan tanpa sokongan dari Sabah dan Sarawak," katanya.

Madius berkata selain menuntut SPR supaya dikembalikan semula kawasan dewan undangan negeri Langkon di Kota Marudu, proses persempadanan semula perlu dilakukan dengan memastikan masyarakat pribumi utama tidak terpinggir. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment