Saturday 26 November 2011

KELUARGA 13 TAHANAN ISA SERAH MEMO



Oleh : MOHD FIRDAUS MUHAMMAD NOOR

KELUARGA lima tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Sabah minggu lalu ke Parlimen kelmarin bagi menyerahkan memorandum kepada wakil Pakatan Rakyat dan BN.

Mereka yang ditemani Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membebaskan kesemua tahanan tersebut dan membawa mereka ke mahkamah terbuka untuk dibicarakan.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, keluarga mangsa cukup tertekan dengan penahanan tanpa bukti kesalahan yang kukuh itu. Apatah lagi katanya, penahanan tersebut dilakukan selepas Najib mengumumkan akan memansuhkan ISA, 15 September lalu.

"Tindakan penahanan ini menimbulkan keraguan serius terhadap kredibilti dan janji Perdana Menteri tersebut. Ia menunjukkan semua proses berjalan seperti biasa dalam kerja melanyak hak asasi manusia. Najib perlu berasa malu dengan penangkapan ini," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen.

Apa yang lebih malang, sebab penahanan 13 orang di bawah ISA itu tidak dinyatakan secara jelas sebaliknya hanya dikaitkan dengan keganasan. Mereka ditahan oleh pegawai polis dari Jabatan Petugas Khas Bukit Aman diketuai DSP Azman Omar di Tawau sebelum dibawa ke Kota Kinabalu dan kemudiannya ke Bukit Aman.

Menurut kakak kepada salah seorang tahanan, Mohd Sarail Osman, nama adiknya itu tidak terdapat dalam senarai yang dikeluarkan Ketua Polis Negara (KPN) namun dia ditangkap ketika berada di rumah.

Manakala kakak seorang lagi tahanan, Mohd Nazri Dollah, adiknya yang merupakan guru agama ditahan ketika baru pulang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan. Dia ditahan di hadapan isteri dan anak-anaknya dan kini berada di Bukit Aman.

Menurutnya yang tidak mahu namanya disiarkan, ketika melawat Mohd Nazri, adiknya itu kelihatan tidak bermaya dan tidak banyak bercakap. Namun apabila ditanya samaada dia dipukul sewaktu dalam tahanan, dia mengakui perkara itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, beliau dan wakil Pakatan Rakyat yang lain akan membawa isu ini sewaktu membahaskan usul untuk menarik balik tiga perisytiharan darurat yang dibentangkan Najib pagi kelmarin.

"Semalam saya sudah bawa isu ini dan Timbalan Menteri Dalam Negeri kata polis ada bukti mereka yang ditahan ini terlibat dengan kegasanasan. Saya tegaskan kalau ada bukti, dakwa di mahkamah. Tidak guna Perdana Menteri umum mahu mansuh ISA tapi dalam masa yang sama membiarkan tangkapan ini," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau turut mewakili Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima memorandum bantahan tersebut. Bagaimanapun, tiada wakil daripada kerajaan yang ingin memorandum tersebut.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Ahli Parliman Pendang, Datuk Dr. Hayati Othman, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Sungai Siput daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta beberapa wakil NGO yang bersama-sama dalam GMI.

Rombongan tersebut turut ke Bukit Aman bagi menyerahkan memorandum sama.

No comments:

Post a Comment