Monday 14 November 2011

KENAPA YTL TIDAK AKTIFKAN ARNS PADA 1996?



Saudara Pengarang,

MENGIKUTI 'perang mulut' antara dua bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh (HS) dan Datuk Yong Teck Lee (YTL), berhubung isu-isu penting melibatkan kebajikan rakyat Sabah, saya terpanggil untuk turut serta membahaskan beberapa perkara penting yang dibangkitkan oleh YTL.

YTL dalam hujjah balasnya terhadap kenyataan HS yang mendakwa bahawa pemansuhan ARNS dilakukan semasa YTL menjadi KM Sabah, menegaskan bahawa pemansuhan Amanah Rakyat Negeri Sabah (ARNS) yang dahulunya dikenali sebagai Amanah Saham Tun Mustapha, dibuat pada tahun 1990, hanya beberapa hari sebelum pilihanraya umum Negeri Sabah ketika YTL hanyalah seorang Pembantu Menteri dan bukannya sebagai KM Sabah.

YTL menjelaskan bahawa beliau hanya menjadi KM Sabah dari 28 Mei 1996 sehingga 27 Mei 1998. Sehubungan itu, saya teruja untuk mendapatkan penjelasan dari YTL hasil dari pendedahan fakta yang beliau kemukakan:

1. Kenapa YTL tidak menggunakan kedudukan beliau sewaktu menjadi KM Sabah, yang juga merupakan CEO Negeri Sabah, yang mempunyai kuasa yang cukup luas, untuk mengaktifkan semula ARNS jika benar beliau mahu memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat Sabah?

2. Siapakah yang meluluskan pemberian sebuah pulau yang dikenali sebagai Gayana Island Resort, milik Joseph Ambrose Lee?

3. Kuasa apa dan siapa yang memiliki kuasa melenyapkan ‘Prince Philip Park’ di Tanjung Aru, yang cukup sinonim sebagai Taman Rekreasi Dan Pusat Riadah bagi warga Kota Kinabalu?

4. Siapakah yang memiliki kawasan pantai sepanjang Lebuhraya Sim-Sim, Sandakan, dan siapa yang meluluskannya?

5. Kenapakah kampung-kampung tradisional Bumiputera masih kekal sebagai kampung setinggan lalu rumah-rumah milik Bumiputera ini dikategorikan sebagai rumah-rumah haram? Kenapakah YTL tidak menggunakan kuasanya sewaktu menjadi KM Sabah untuk melindungi kampung-kampung tradisional ini dengan cara memberi geran hakmilik kampung?

Saya dengan rendah hati mempersilakan YTL memberi jawapan dengan seikhlas yang mungkin. Selepas ini, ada banyak lagi persoalan yang saya akan ajukan terhadap YTL.

Salam Hormat,

HJ. HAMZAH HJ. ABDULLAH

No comments:

Post a Comment