Wednesday 16 November 2011

KENDURI SEKAMPUNG MEDIUM TRANSFORMASI



RASMI…Kelihatan Salleh memukul gong sebagai simbol perasmian penutupan program tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

USAHA yang dilakukan oleh RTM khususnya Sabah FM, mengadakan program Kenduri Kampung bersama Petani, Penternak dan Masyarakat Kampung, di Kampung Pirasan Kota Belud baru-baru dilihat sebagai medium untuk memberi perkhidmatan secara terus kepada masyarakat.

Sepanjang dua hari program ini diadakan, pelbagai aktiviti telah diadakan seperti pameran, sukaneka, kenduri sekampung persembahan Pentarama yang melibatkan semua masyarakat.

Berucap merasmikan penutupan program tersebut, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said berkata, .usaha itu merupakan langkah terbaik mendekati rakyat bersama pemimpin, sekali gus menyebar maklumat dan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat secara berkesan.

Katanya, sebagai media rasmi kerajaan, RTM wajar menampilkan program yang boleh mendekati rakyat dengan sebaik mungkin, walaupun di Malaysia sudah wujud beberapa media alternatif seperti radio internet; hakikatnya populariti Sabah FM mempunyai peranannya tersendiri selaku badan penyiar kerajaan yang menyajikan ketepatan siaran bermaklumat.

Dalam pada itu, Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud turut menyarankan agar Sabah FM melakukan satu kajian mengenai bilangan pendengarnya bagi menentukan program-program yang disajikan stesen berkenaan mencapai matlamatnya.

DIHARGAI……Salleh menerima cendera kenangan dari wakil Pemangku Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah, Malinahziah Datu Mohd Julaspi selepas merasmikan majlis tersebut.

Sementara itu, dalam ucapan aluan Pemangku Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah, Ali Ngasio berkata, usaha mengadakan majlis berkenaan selepas penganjuran kali pertamanya di Sipitang, Januari lalu antara lain berperanan sebagai penyampai maklumat semasa kepada pendengar selaras dengan hasrat merakyatkan RTM.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Penolong Pengarah Rancangan TV, Malinahziah Datu Mohd Julaspi.

Menurut Ali, kesempatan Sabah FM dalam melaksanakan program turun padang menerusi aktiviti kemasyarakatan seumpama itu merupakan penghargaan kepada para pendengar yang selama ini memberi sokongan penuh terhadap pelbagai program terbitan Sabah FM.

Ali berkata selain menyampaikan ketepatan maklumat dan pelbagai terbitan rancangan berkualiti, RTM selaku sebuah entiti penyiaran terunggul di negara ini mampu menjalinkan keutuhan kemesraan kepada semua lapisan masyarakat pendengar.

No comments:

Post a Comment