Sunday 13 November 2011

KKLW PUNCA 1,000 JURUTERA MENGANGGUR?



Saudara Pengarang,

SAYA salah seorang daripada 1,000 Jurutera Awam (pelbagai bidang) keluaran Universiti tempatan dan luar negara di Sabah yang menganggur sejak 2004 kerana tidak berpeluang untuk berkhidmat di Jabatan Kerjaraya atau Jabata Pengairan dan Saliran sejak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mengambil alih tugas pembangunan Sabah.

Lebih buruh lagi apabila Menteri KKLW, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal telah melantik FELCRA dan Juruperunding Swasta sebagai penyelia projek KKLW di Sabah sehingga peluang kami untuk berkhidmat dengan kerajaan hancur lebur.

Dalam temuduga baru-baru ini, hanya 18 orang daripada lebih 1,000 jurutera bertauliah yang mendapat peluang bekerja dengan Jabatan Kerjaraya dan saya termasuk dalam kumpulan individu yang gagal mendapat tempat.

Sehubungan itu, kami merayu Kerajaan Negeri Sabah mendesak Kerajaan Persekutuan agar menyerahkan semua Projek Pembangunan Persekutuan di Sabah kepada Jabatan Kerjaraya, Jabatan Pengairan dan Saliran; Jabatan Air dan Pejabat Pembangunan Negeri agar khidmat kami dapat digunakan untuk membangunkan negeri yang kami cintai ini.

Dalam keadaan yang amat payah menjalani kehidupan, kami bukan sahaja terpaksa membayar balik pinjaman PTPTN, malah tidak dapat menebus tanah yang digadaikan ibubapa kami untuk membolehkan kami memperoleh ijazah di luar negara; sedangkan KKLW terus membazirkan wang awam melalui projek ‘Top-Up’ yang boleh menggaji lebih 2,000 jurutera di seluruh Malaysia.

Persoalannya, kenapa kami menerima nasib malang, lebih malang daripada peminta sedekah dan penjaja haram yang sering diburu oleh pihak berkuasa sedangkan ramai di antara kami telah mendaftar sebagai pemilih sejak tahun lalu.

Ke manakah undi kami akan diberikan jika kerajaan yang kami harap dapat membantu meringankan beban hidup kami, terutama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, telah mengkhianati kami dengan menyekat peluang kami untuk berbakti kepada Negara tercinta!

Salam Hormat,

BRAHAM ESHFAM FRAZER

No comments:

Post a Comment