Friday 18 November 2011

KONSEP 1MALAYSIA, FORUM BEBAS MERDEKA



SIMBOLIK... Dr Lindai memalu Gong sebagai simbolik tanda perasmian majlis tersebut.

Oleh: SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

MAJLIS Pengagehan 750 buah beg Sekolah 1 Malaysia yang membabitkan 15 sekolah rendah di kawasan Parlimen Sandakan yang dilaksanakan oleh Pejabat Ahli Parlimen Sandakan, sesungguhnya menceriakan 750 orang murid sekolah-sekolah berkenaan.

Datin Dr Lindai Lee, Isteri kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga selaku Ahli Parlimen Sandakan, Datuk V.K Liew telah menyempurnakan pengagehan beg-beg sekolah untuk peringkat pertama yang dilangsungkan di Dewan Serbaguna SK Sung Siew, Sandakan, petang kelmarin.

Setiap sekolah menerima 50 beg tersebut dan Sekolah Sung Siew amat bertuah kerana terpilih sebagai pusat majlis pengagehan sumbangan tersebut.

Dalam ucapannya, Datuk V.K Liew yang teks ucapannya dibacakan oleh Datin Dr Lindai Lee antara lain berkata; Majlis Pengagehan Beg Sekolah 1 Malaysia ini merupakan satu daripada inisiatif Kerajaan bagi membantu meringankan beban isi keluarga serta usaha menggalakkan anak-anak muda di peringkat persekolahan rendah untuk memahami dan mengenali Kerajaan yang prihatin kepada rakyatnya.

“Inisiatif dan peranan Kerajaan seperti mana penganjuran majlis ini adalah merupakan satu aspirasi Kerajaan yang sangat berkait rapat dengan konsep 1 Malaysia diwujudkan dengan tujuan untuk menyediakan satu forum yang bebas dan terbuka bagi membincangkan perkara yang benar-benar dekat di hati kita sebagai satu bangsa,” ujarnya.

Kata V.K Liew lagi, bagi mencapai aspirasi 1 Malaysia, sistem pendidikan negara akan terus dititik-beratkan dengan menyentuh pembinaan akhlak, moral, sahsiah diri, penghayatan, sains, pengetahuan am dan pelbagai ilmu kemahiran diri.

Falsafah Pendidikan di Malaysia, kata V.K.Liew merupakan usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi mental dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan yang maha Esa.

TERIMA KASIH...Salah seorang murid menerima bag sekolah 1 Malaysia daripada Dr Lindai Lee.

ALBUM......Dr Lindai Lee bergambar dengan para murid SK Sung Siew.

Ini jelas, sambung V.K Liew, dalam erti kata yang lain, pendidikan negara merupakan satu sistem pendidikan ke arah mewujudkan model insan yang mempunyai ciri-ciri dan keluhuran murni dalam jati diri.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluan Guru Besar SK Sung Siew, Florance Chong mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur majlis pengagehan beg sekolah 1 Malaysia, terutamanya pejabat Ahli Parlimen Sandakan yang memilih sekolah tersebut sebagai pusat majilis pengagehan yang membabitkan 15 buah sekolah kebangsaan yang ada di kawasan parlimen Sandakan.

“Keprihatinan Ahli Parlimen Sandakan menyumbangkan 750 beg sekolah, adalah satu usaha murni yang harus dijadikan contoh oleh Wakil Rakyat lain untuk berbuat sedemikian di kawasan masing-masing,” jelas Chong.

No comments:

Post a Comment