Thursday 10 November 2011

KURUP ‘DIKENCING’ JKKK SENDIRI?



Oleh :LEGASI SIMBOUN

KUASA telah mengaburi mata seorang Pengerusi Jawatan Kuasa Dan Keselamatan (JKKK) sebuah kampung nun jauh di Sook. Dengan pembangunan tanah untuk tanaman kelapa sawit yang tidak akan dapat dilakukan sendiri oleh penduduk yang tidak berkemampuan dan berdaya, cuma mengharapkan tanah-tanah yang terbentang luas di hadapan mereka diusahakan oleh sebuah agensi kerajaan secara rakan usahasama.

Ternyata ada pihak yang telah menjadikan wakil kampung ini mengaut keuntungan dengan segera dengan cara menjual lot-lot ini kepada orang luar sehingga mengenepikan penduduk asal kampung tersebut.

Kampung Tuawon, yang berada di bawah bayu Gunung Trus Madi yang indah diapit sempadan Sook dan Tongod, tempat tinggalnya suku kaum Dusun Lobu. Kini tidak boleh berbangga dengan jati diri mereka yang telah dikoyak rabakkan oleh Pengerusi JKKK mereka; yang tidak melihat orang sendiri dalam soal pengambilan peserta sebagai rakan kongsi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB).

Anak tempatan dinafikan hak untuk menjadi peserta. Malahan yang paling menjadi tanda soal ialah orang luar seperti dari Tenom, yang langsung tiada kaitan dengan penduduk Kg Tuawon turut disenaraikan sebagai peserta dalam perladangan kongsi itu yang tidak lama lagi akan ditandatangani.

Termeterinya MoU itu, maka bermulanya sejarah penuh hitam penduduk yang terpinggir dalam pemilihan yang tidak adil tersebut.

Malahan seorang guru besar dan dua orang anak beliau yang belajar di pusat pengajian tinggi adalah antara bakal peserta perladangan kongsi itu. Sedangkan mereka langsung tidak berhak memandangkan mereka ini adalah dari Kg.Mansiat.

Begitu juga dengan isteri Pengerusi JKKK yang diistiharkan bujang disenaraikan di bahagian belia dan anak-anak beliau turut disenaraikan sebagai peserta. Mereka yang bekerja di Kota Kinabalu, malah yang berjawatan tinggi di sektor swasta dan kerajaan juga turut mendapat tuah, seolah menang cabutan tiket bertuah.

Anak-anak PJKKK itu juga berbangga atas usaha ayah mereka, masa depan mereka cerah di hadapan berikutan dengan tersenarainya nama mereka sebagai peserta, mereka akan mendapat bayaran dividen apabila tiba masanya kelak.

Menantu PJKKK juga yang datang dari kawasan lain di luar Sook mendapat durian runtuh kerana bapa mertua sangat sayang kepada mereka sehingga diberikan lot suami isteri. Balu dan duda yang bukannya orang asli di kampung itu juga turut mendapat lot dengan mudah.

Di sebalik semua itu, terdapat rintihan dan keluhan penduduk kampung Tuawon kerana sebagai orang asal, dengan kuburan nenek moyang yang tersemadi dengan aman, mereka telah dipinggirkan malahan dinafikan hak untuk mendapatkan lot tersebut. Lot-lot itu telah disapu oleh PJKKK yang tidak telus diberi kepada keluarga dan rakan-rakannya.

Tindakannya, ibarat anak di rumah mati kelaparan, kera di hutan disusukan. Ramai orang di Tuawon dan sekitarnya bekerja di luar kampung itu mencari rezeki. Namun mereka tidak pernah melupakan kampung halaman. Malahan setiap perayaan, kematian atau keramaian mereka pasti akan pulang untuk sama-sama meringankan beban dan bersimpati.

Namun sikap PJKKK yang sering menggunakan nama Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup tidak disenangi oleh penduduk kampung. Apatah lagi apabila pembahagian kemudahan yang dipohon dari wakil-wakil rakyat tidak sampai kepada sasaran sebenar. Ia terlebih dahulu mengutamakan sanak saudaranya.

Apabila pembahagian zink dibuat atas pemberian Yang Berhormat, beliau akan meminta penama masing-masing mengambil zink itu di pekan Keningau, atau jika beliau bawa ke kampung. Beliau akan memotong sehingga bahagian zink itu sebagai tambang malahan ada yang langsung tidak mendapat habuan.

Ketika orang kampung berura-ura mahu menyingkirkan beliau dari jawatan PJKKK melalui satu mesyuarat yang akan diadakan; dikhabarkan beliau telah mereka-reka minit mesyuarat bahawa penduduk kampung masih memerlukan perkhidmatan beliau sebagai PJKKK.

Hakikatnya jawatan itu dipergunakannya untuk terus memijak masyarakat di kampung dan apabila ditegur beliau akan menggunakan jawaban paling keramat, “Ini yang Tan Sri arahkan”, sehingga menimbulkan kebencian di kalangan rakyat dan penyokong BN di kawasan itu.

Beliau adalah liabilti bagi BN kerana tidak berlaku adil kepada yang lain. Bagaikan Tan Sri Kurup dikencing PJKKK ini. Meskipun beliau adalah orang lama, namun sebagai orang yang penuh dengan tanggungjawab, prihatin dan adil, sepatutnya beliau mendahulukan penduduk sendiri.

Diminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terutamanya soal penyenaraian peserta lot dan pembahagian kemudahan di kampung itu. Mustahil SPRM tidak dapat mengambil tindakan terhadap beliau kerana menyenaraikan anak beranak, isteri, menantu dan kawan-kawan beliau sebagai peserta SLDB, tetapi kenapa isteri, suami atau anak penduduk di kampung itu tidak layak?

1 comment:

  1. Lapor kepada SPRM Keningau, itulah tujuan pengwujudan SPRM di pedalaman demi untuk sebuah keadilan kepada rakyat yang jadi mangsa ketidakadilan....

    ReplyDelete