Tuesday 8 November 2011

LATIFF, WIRA YANG TERBUANG



Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIES JUMADI

KATA orang, sudah jatuh ditimpa tangga, Mungkin inilah nasib malang yang telah menimpa seorang pesara tentera yang terpinggir. Walaupun semasa berkhidmat sebagai tentera selama 15 tahun, banyak jasa telah dicurahkan kepada bangsa, agama dan tanah air; malah sanggup menggadai nyawa demi ibu pertiwi.

Datu Abdul Latiff Datu Bajan, 66, yang kini kudung kedua-dua belah kakinya yang terpaksa dipotong kerana mengidap penyakit kencing manis, terpaksa menjalan sisa-sisa hidup dalam keadaan serba sukar kerana tidak mendapat pencen daripada kerajaan.

Akibatnya, beliau terpaksa menumpang tinggal dan mengharapkan belas ehsan daripada anak-anak saudaranya yang tinggal di Kampung Sim-Sim Jambatan nombor 5, Berhala Darat, Sandakan.

Semasa kunjungan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong kekediamannya, Latiff sempat menceritakan riwayat hidupnya dan kesengsaraan yang dilalui kerana walaupun sudah pencen bertahun-tahun, belum pernah menikmati wang pencen.

Tambah menyukarkan kehidupannya, tanah sekangkang kera seluas 7.22 ekar miliknya di Kampung Gum-Gum telah diambil oleh kerajaan untuk projek pembangunan.

“Saya mempunyai tanah seluas 7.22 ekar yang terlibat dengan projek kerajaan dan dijanjikan akan dibayar pampasan RM35,000 tetapi saya hanya dibayar hanya RM18,500 sahaja dan dijanjikan bakinya akan dibayar kemudian. Tetapi sejak 2007 sehingga sekarang, saya belum terima bakinya,” kata Latiff yang mengakui sudah jemu menulis surat kerana mendapat layanan.

Kata Latiff lagi, permohonan beliau untuk menjadi Ahli Persatuan Bekas Tentera juga tidak diproses sehingga ke hari ini.

Memandangkan kehidupan Latiff terhimpit dalam kesusahan, maka beliau memohon jasa baik dan belas ehsan V.K.Liew untuk mendapatkan bantuan bulanan, sama ada menerusi program E-Kasih ataupun Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Bercakap kepada Sabahkini.Net, V.K.Liew amat simpati dan terharu mengenang nasib malang yang menimpa Latiff sehingga benar-benar menghayat hati beliau dan berjanji akan merujuk perkara ini dengan jabatan-jabatan terlibat untuk mendapat bantuan ehsan daripada pihak kerajaan.

“Saya berjanji tidak akan berdiam diri terhadap nasib malang yang menimpa Latiff. Saya akan arahkan pegawai-pegawai saya untuk merujuk kes Latiff kepada pihak berkenaan untuk memastikan Latiff mendapat haknya menurut lunas undang-undang,” kata V.K.Liew lagi.

V.K.Liew turut menggesa agar agensi terbabit menjelaskan segera baki bayaran pampasan tanah berkenaan bagi membolehkan Latiff meneruskan kehidupannya yang semakin payah.

No comments:

Post a Comment