Thursday 3 November 2011

LDP TIDAK BERHAK TENTUKAN SIAPA KM



Oleh : MUTALIB M.D

LDP tidak mempunyai hak untuk menentukan siapa yang dilantik sebagai Ketua Menteri dan Ketua Perhubungan UMNO Sabah kerana pemilihan Ketua Menteri Sabah adalah berlandaskan prinsip demokrasi dan konsep Barisan Nasional.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Yakub Khan ketika menghubungi Sabahkini.net sebentar tadi kesal dengan senario yang berlaku kerana pemimpin LDP terus menerus menyerang daya kepimpinan dan peribadi Ketua Menteri Sabah.

“Kenyataan berunsur ugutan oleh pemimpin LDP lebih menunjukkan sifat tidak menghormati Perdana Menteri sebagai Pengerusi BN Pusat dan sekaligus mengkhianati perjuangan parti,” kata Yakub yang menegaskan betapa perlunya BN Sabah membawa usul mengambil tindakan disiplin ke atas pemimpin LDP yang menyalah guna prinsip demokrasi dengan mencabul keharmonian BN.

Sehubungan itu, Yakub bertanya wajarkah pemimpin LDP yang diberi kepercayaan oleh parti mempersoalkan dasar parti yang didukung, terutama Datuk Chin Su Phin yang dilantik sebagai Senator Dewan Negara.

Politik BN Sabah yang selama ini harmoni kata Yakub, telah dikeruhkan oleh tindakan pemimpin LDP yang bertindak di luar tabii dan batasan lanskap politik Sabah menyerang rakan parti komponen terutama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dan Parti Gerakan.

“Hanya rakyat dan ahli parti yang berhak mempersoalkan kepimpinan Ketua Menteri Sabah dan bukannya seorang pemimpin yang mempunyai agenda politik seperti Chin Su Phin dan Nancy Lim,” kata Yakub lagi yang tidak menolak kemungkinan tindakan mereka ini didalangi oleh pemimpin Desperado yang berjubahkan BN.

Yakub menarik perhatian, wajarkah pemimpin yang mempersoalkan dasar parti di pertahankan dan dibiarkan bermaharaja lela menimbulkan huru-hara demi survival politik mereka sendiri?

No comments:

Post a Comment