Saturday 12 November 2011

MASYARAKAT KUNAK TOLAK CALON IMPORT?



Saudara Pengarang,

SEBAGAI Anak Jati Kunak, saya yang mewakili rakyat Kunak kesal kenapakah Kerajaan Barisan Nasional tidak memberi peluang kepada kami untuk menampilkan seorang ‘Wira’ anak kelahiran Kunak yang berpotensi boleh dicalonkan di Dewan Undangan Negeri Kawasan N51 Kunak dalam pilihanraya umum ke 13 nanti?

Persoalannya, adakah anak kelahiran Kunak pernah diberi peluang untuk bertanding di luar kawasan Kunak, contohnya bagi daerah Semporna atau Bukit Garam, Sandakan?

Jawapannya sudah tentu tidak kerana kawasan tersebut ada calon anak jati tempatan sendiri dan mereka tidak membenarkan calon luar menjajah mereka, tetapi mengapa pula Daerah Kunak menjadi rebutan orang luar daerah?

Oleh itu, ayuhlah kita bangkit untuk menentukan calon BN terdiri daripada Anak Jati Kunak bagi membela nasib dan masa depan kita sendiri tanpa mengimport calon luar.

Adalah baiknya kami masyarakat Kunak membuka mata, berfikir secara matang dan sedar bahawa kami perlu memilih wira anak jati Kunak yang layak memenuhi kriteria untuk dicalonkan melalui tiket BN/UMNO pada pilihanraya umum akan datang selepas Wakil Rakyat yang ada sekarang.

Biarlah kami diberi peluang memilih dan menentukan calon kawasan sendiri supaya memperolehi kemenangan majoriti dan boleh bersuara di Dewan Undangan Negeri Sabah untuk membawa masalah daerah dan masyarakat Kunak.

Oleh hal yang demikian, Kerajaan dapatlah menyalurkan peruntukan yang diperlukan untuk membangunkan daerah dan masyarakat secara keseluruhannya tanpa berlaku sebarang ketirisan seperti sekarang.

Ingatlah, wahai masyarakat Kunak, kita perlu bersatu dan bekerjasama untuk memilih anak kelahiran Kunak dan jangan sekali-kali terpedaya dengan wang ringgit mempengaruhi nafsu kita untuk menerima ‘calon luar daerah.’

Ingatlah bahawa, kita hanya diperalatkan menjadi ‘Batu Loncatan’ atau hanya sebagai ‘Kuda Tunggangan’ untuk mengambil kuasa yang bertujuan hanya memperkayakan diri serta ahli keluarga dan kuncu-kuncu mereka; tetapi akhirnya kita yang menderita, kecewa dan terpedaya!

Baru-baru ini, kami masyarakat Kunak telah mendapat maklumat dari sumber-sumber yang boleh dipercayai bahawa, ramai anak tempatan Kunak dan beberapa orang ‘anak kelahiran luar daerah’ yang berpura-pura menjadi ahli cawangan semata-mata untuk melayakkan diri sebagai tiket ingin menawarkan diri dan melobi untuk menjadi calon di kawasan DUN N.51 Kunak.

Ini berlaku berikutan adanya desas-desus Nilwan Kabang mungkin hanya bertahan satu penggal sahaja oleh sebab-sebab faktor kesihatan diri dan pelbagai sebab peribadi yang dipersoalkan masyarakat Kunak dan Pucuk Pimpinan BN/UMNO; terutama berkaitan dengan status pengenalan diri yang mempunyai pertindihan nombor Kad Pengenalan dengan warganegara Malaysia yang lain, serta kesahihannya diragukan!

Kami maklum bahawa, Nilwan Kabang memang tidak mampu lagi menanggung tugas dan tanggung jawab sebagai Wakil Rakyat disebabkan perlu sentiasa berada di Kota Kinabalu untuk mendekati Doktor Pakar SMC dan Hospital Queen Elizabeth kerana rawatan jantung yang perlukan pengawasan sebaik sahaja berlakunya kes kecemasan bagi imbasan jantung di IJN Kuala Lumpur Januari 2011 yang lalu.

Rawatan perubatan yang konsistan dan kerap perlu dibuat ke atas penyakit yang dialami bagi mengelak komplikasi serangan jantung yang membahayakan tanpa rawatan rapi dari doktor pakar jantung.

Kami amatlah bersimpati ke atas apa yang telah berlaku kepada pemimpin kami. Kami amatlah bersetuju dan menyokong keputusan pihak Pucuk Pimpinan BN/UMNO Pusat dan Negeri Sabah untuk menyahut kehendak masyarakat Kunak yang mencadangkan Nilwan Kabang diberi opsyen beristirehat dari tanggungjawab sebagai Wakil Rakyat.

Sehubungan itu, kami mahu kepimpinan baru diketengahkan bagi menggantikan Nilwan dan kami mengucapkan terima kasih di atas jasa baik Nilwan memimpin kami dan kami juga menyokong penuh jika keputusan Pucuk Pimpinan BN/UMNO Pusat terutama Pemimpin yang Kami Sayangi, Dato’ Seri Hj. Mohd. Najib Tun Hj. Abd. Razak, Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional untuk memilih seorang calon anak jati tempatan kelahiran Kunak dan bukannya calon import.

Sebelum kami tergadai ke tangan pembangkang, kami MENIDAKKAN serta MENOLAK BULAT-BULAT calon ‘luar daerah’ atau calon import atau ‘bidan terjun’.

Kami bertekad dan bertegas agar tidak mahu berulang kembali apa yang berlaku di masa masa lalu, iaitu semasa PRU 12 kerana pemilihan seseorang calon bukanlah berdasarkan soal-selidik dan temu ramah masyarakat Kunak yang menentukan siapakah bakal calon yang kami mahukan?

Pucuk Pimpinan perlu menilai dan mengambil kira aspek latar-belakang dan kewibawaan seseorang bakal calon yang dipilih dan menitik-beratkan untuk memberi keutamaan kepada anak jati tempatan itu sendiri.

Adalah tidak wajar jika bakal calon dipilih mengambilkira kekayaannya, ahli keluarga menteri dan bertopengkan ahli cawangan yang bertujuan hanya mengacau-ganggu daerah kami semata-mata untuk menjadi calon. Hormatilah sensitiviti kami yang inginkan Wakil Rakyat anak jati kelahiran daerah kami sendiri.

Apakah cacat atau kurangnya anak-anak tempatan kelahiran Kunak? Kita tahu bahawa, sudah ramai anak jati kelahiran Kunak yang mempunyai pendidikan tinggi dan melibatkan diri dalam politik, terutama menerusi Parti UMNO dan boleh dicalonkan dalam PRU 13 di kawasan DUN N. 51 Kunak.

Oleh kerana DUN Kunak adalah Kuota UMNO, maka kami yakin dengan kerjasama erat parti-parti komponen Barisan Nasional, kerusi DUN Kunak dapat dipertahankan dengan mudah.

Tahukah anda bahawa di antara individu yang cuba melobi dan menawarkan diri untuk bertanding di kawasan DUN N. 51 Kunak ialah :-

(1)-Hj. Salsidu Ibrahim *(Pengarah Jabatan Cetak Negeri, kelahiran Kg. Bugaya, Semporna-ada dakwaan yang mengatakan beliau lahir di Filipina);

(2)-Hj. Mohd Yusop Apdal *(Adik kepada Menteri Luar Bandar, kelahiran Kg. Bubul, Semporna);

(3)-Abdul Salim Amming *(Kerani Jabatan Pertanian, kelahiran Kg. Sikabimbangan, Semporna);

(4)-Uki Ugi *(Pembantu Perubatan Hospital Kunak, kelahiran Kg. Bukit Garam, Jalan Sandakan/Kinabatangan, Sandakan)

Kami tahu individu-individu ini akan menggunakan ‘politik wang’ dengan merasuah masyarakat Kunak untuk meraih sokongan yang mana akhirnya perlakuan individu-individu ini akan membawa padah kepada integriti kepimpinan BN/UMNO sekiranya mereka dipilih!

Mengapa tidak? Jika individu-individu ini mengamalkan politik wang dan pihak tertentu akan mengumpul bukti untuk dilaporkan kepada SPRM sehingga tindakan kepada individu berkenaan melibatkan nama parti UMNO dan setelah nama parti tercemar, maka hilanglah integriti.

Tambahan pula individu-individu ini mempunyai rekod peribadi lampau yang bercanggah dengan perlembagaan parti seperti mempunyai kes politik wang dan tindakan batal bertanding sebagai Ketua Bahagian parti kerana rasuah dan kes-kes telah menyalah-gunakan kuasa berjawatan dalam perkhidmatan Kerajaan dan pelbagai kes lain-lain yang sepatutnya dari awal-awal lagi sudah ditolak melalui tapisan akhir Kepimpinan BN/UMNO.

Semasa penamaan calon untuk bertanding, pihak tertentu, terutamanya pihak parti pembangkang juga mempunyai bukti-bukti nyata (bertulis) atau laporan bukti bergambar yang menjadi bahan sokongan bantahan mereka dan mereka kemukakan melalui ‘Petition’ kepada Pegawai Pengurus SPR semasa bantahan penamaan calon melalui Peguam calon pembangkang ataupun calon bebas yang hingga menyebabkan calon BN/UMNO menjadi ‘DISQUALIFIED’.

Betapa kecewanya kami sekiranya penolakan calon berlaku dan kehilangan Wakil Rakyat dari BN/UMNO bertukar pula menjadi kawasan diwakili Pembangkang ataupun Calon Bebas! Kami tidak bersetuju dan bertegas tidak akan menyokong mana-mana individu-individu dari kawasan luar daerah untuk menakluki dan menjajah Kunak.

Di sebaliknya, kami mencadangkan pilihlah di kalangan salah seorang daripada anak-anak jati tempatan Kunak yang berkelayakan dan yang boleh diketengahkan sebagai bakal Wakil Rakyat kami masyarakat Kunak seperti; Balnama Kaulu; Abdul Rahim Wahab; Hj. Hussin Pg. Ibnu Hassan; Mohd. Bustan @Industan Hj. Lumantang; Jalilul Ajirul; Sharif Shamsudin Sharif Sagaf; James Lakim dan Halid Harun.

Kami buat pensenaraian nama di atas adalah atas dasar mereka ini sering berinteraksi dengan masyarakat daerah ini dan tahu permasalahan masyarakat dan yang lain mewakili suku kaum Bugis seperti Jahari Lorong dan Herman Rahim.

Kami menyokong penuh kepada pihak berkuasa (agensi Kerajaan) yang diamanahkan oleh Pucuk Pimpinan Kerajaan dan Kepimpinan BN/UMNO Pusat untuk menganalisis, menilai, menemuramah dan menyoal-selidik ke peringkat akar umbi penduduk setempat di daerah Kunak dan membuat rumusan laporan kepada pihak atasan; tanpa prejudis, berat sebelah dan pilih kasih.

Kami menghormati tugas dan tanggungjawab pihak perisik dan pelapor yang diberikan tugas dan tanggungjawab untuk menyampaikan hasil siasatan latar belakang bakal bakal-bakal calon kepada pihak Pucuk Pimpinan BN/UMNO Pusat dan Negeri Sabah dan terserahlah kepada pemimpin atasan untuk membuat keputusan untuk memilih seorang calon untuk bertanding pada PRU 13 di kawasan DUN N.51 Kunak kelak.

Kami mengharapkan keputusan yang dibuat oleh Pucuk Pimpinan BN/UMNO Pusat dan Negeri Sabah berdasarkan fakta laporan terperinci agensi-agensi Kerajaan yang dipertanggungjawabkan bagi memastikan kemenangan majoriti BN/UMNO di kawasan DUN N.51 Kunak.

Kami tidak mahu tertipu lagi dengan tektik-tektik yang kotor dan menghancurkan masa depan kami. Kalaulah daerah Semporna atau Bukit Garam itu betul-betul tempat kelahiran individu-individu ini yang berkeinginan melobi menjadi calon, silalah tawarkan diri menjadi calon di tempat kelahiran individu-individu itu sendiri seperti di Bugaya, di Sulabayan, di Sinallang ataupun di Bukit Garam.

Keempat-empat kawasan ini tidak menjadi masalah bagi individu-individu ini untuk bertanding dan mencuba nasib di tempat kelahiran masing-masing kerana kawasan tersebut lebih mengenali mereka daripada kami yang dipaksa menerima calon import sebaik sahaja BN memerintah Sabah sehingga kini.

Tolonglah! Tolonglah jangan cuba-cuba menjadi ‘Penjajah’ kerana kami tahu individu-individu tersebut yang cuba masuk menjajah kami adalah terdiri dari individu-individu kontraktor bergelar ‘Jutawan’; ada yang menjawat Pengarah ‘berpangkat tinggi’, ada yang menjawat Kerani Jabatan Pertanian dan Pembantu Perubatan berlagak ‘Jutawan Kunak’ yang hanya memperkayakan diri dengan hasil pencerobohan tanah, penipuan dan menyalah-gunakan kuasa jabatan tempat mereka berkhidmat.

Mereka turut membocorkan rahsia jabatan sehingga sanggup membelakangkan Sumpah Setia Menyimpan Rahsia Kerajaan untuk menceroboh tanah dan bersama kuncu-kuncu yang kami kenal-pasti termasuklah Pengarah Jabatan Kerajaan Negeri Sabah yang kami boleh buktikan sebagai proksi memiliki tanah di Sabahan Kunak.

Kami sudah mengetahui individu-individu ini yang hanya bertopengkan ahli UMNO tetapi Misi dan Visi individu-individu ini hanyalah ingin memperbodohkan kami dan memperkayakan diri masing-masing serta kaum kerabat dan kuncu-kuncu mereka jika menjadi calon di Kunak.

Kami akan terus memantau dan mengikuti perkembangan politik semasa, khususnya pemilihan bakal Wakil Rakyat dari BN/UMNO di kawasan DUN N.51 Kunak bagi PRU 13 tidak lama lagi.

Jika bakal Calon BN/UMNO di DUN N. 51 Kunak memenuhi aspirasi dan menepati kehendak kami, kami akan buktikan sokongan padu kami semasa pembuangan undi hari mengundi nanti. Insya Allah.

Kami berjuang untuk BN/UMNO, sehubungan itu kami mahu anak jati Kunak bakal mewakili dan memajukan daerah kami yang serba mundur serta membela nasib kami di persada politik Negara.

Kami berikrar dan berjanji akan menyokong kepimpinan BN/UMNO, jika hasrat dan cita-cita kami diperkenankan oleh pucuk pimpinan BN/UMNO pusa.

Salam Hormat,

TAPSIL SARULLAM

(Rujukan catatan umum: Tanda *(…) digunakan sebagai tahap bahaya dan menggugat masa hadapan anak cucu cicit masyarakat Kunak kerana calon kelahiran luar daerah hanya bertujuan untuk menjajah kami dan daerah kami; setelah kenyang dan kaya-raya mereka akan pulang ke daerah mereka tanpa mempedulikan masyarakat Kunak lagi.)

No comments:

Post a Comment